My Add

Friday, 30 September 2011

Henti salahkan orang, kutuk pihak lain - Hilmi Yahaya

PULAU PINANG: Ketua Menteri, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak meneruskan sikapnya yang suka menyalahkan dan mengutuk pihak lain kerana ia hanya menjejaskan nama baik negeri dan negara.


Setiausaha Barisan Nasional negeri, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, Guan Eng sepatutnya mengubah sikap dan menggunakan peluang untuk mempromosikan keunikan negeri ini ke seluruh dunia, bukannya mengutuk dan mewujudkan permusuhan dengan negeri lain.

"Saya ingatkan dia (Guan Eng) jangan suka salahkan orang lain, kutuk orang lain. Mentaliti kena ubah. Sebagai Ketua Menteri, dia tidak patut mengutuk negeri lain (Johor). Tapi apa yang saya nampak, dia lupa siapa dirinya. Dia masih ingat dia pembangkang.

"Tidak kisahlah apa alasan dia (Guan Eng) berbuat demikian, yang penting dia tidak boleh lagi buat begitu. Sepatutnya dia kena beritahu apa yang Pulau Pinang ada dan apa perancangan yang dia nak buat. Barulah boleh tarik pelaburan," katanya pada majlis 1Malaysia Merdeka Raya anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di sini, semalam.

Beliau mengulas temu bual Guan Eng dengan media asing di Singapura baru-baru ini yang mendakwa rakyat republik itu berkemungkinan diculik sekiranya berurusan di Johor.

Kata Hilmi, pelaburan yang masuk ke sesebuah negeri turut dinikmati oleh negeri di sekitarnya.
"Tidak kiralah pelaburan masuk ke Johor, Perak atau negeri lain. Kesan baik itu dinikmati semua rakyat kerana ia saling bersangkutan.

"Saya harap dia bersikap gentlemen. Kena bertanggungjawab atas apa yang dia kata, jangan nafikan. Saya meneliti transkrip temu bual berkenaan dan apa dikatakannya tentang Johor itu memang ada," katanya.

Sementara itu, di Kuala Lumpur, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, kenyataan Guan Eng itu tidak tepat, berniat jahat dan mahu menafikan usaha polis dalam mencegah jenayah selama ini.

"Beliau membuat kenyataan secara tergesa-gesa tanpa unsur periksa. Kenyataannya itu mempunyai maksud tersirat dan dilihat mempertikai usaha kerajaan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam mengurangkan kadar jenayah di negara ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment