JOHOR BAHRU: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didesak supaya segera meminta maaf kepada Sultan Johor dan rakyat ekoran dakwaannya yang negeri ini tidak selamat dan berpotensi untuk diculik sekiranya berada di sini.
Presiden Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), A. Rahman Mahadi berkata, tuduhan itu liar sekali dan amat mengguris hati rakyat Johor.
"Jika Guan Eng dakwa tidak selamat, jangan datang lagi ke Johor untuk berkempen atau sebagainya. PPPMM juga ingin tahu status warganegara Guan Eng dan keluarganya yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu di negara asing.
"PPPMM mendesak kerajaan agar Guan Eng disiasat kerana ia melibatkan maruah, kedaulatan dan keselamatan negara. Guan Eng perlu perjelaskan kepada kerajaan negeri dan juga Sultan Johor tentang kenyataannya yang tidak berasas itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP itu yang memburuk-burukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.
A. Rahman berkata, tindakan pemimpin DAP itu dipercayai mempunyai agenda tersendiri dengan pihak luar dari negara tersebut dalam usaha menjatuhkan negara ini.
Katanya, motif Guan Eng itu menimbulkan tanda tanya dan perbuatan memfitnah Johor di luar negara adalah satu perkara yang serius dan tidak boleh dimaafkan.
"Polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan tegas atas kenyataannya selaku rakyat Malaysia yang memburuk-burukkan negara sendiri," katanya.
Menurutnya, pemimpin DAP kini semakin biadab dan sikap Guan Eng itu menunjukkan dirinya masih tidak layak memegang jawatan Ketua Menteri.
Sepatutnya, kata A. Rahman, Guan Eng bersaing secara sihat dengan negeri ini dan bukan menjatuhkannya dengan cara jahat dan bersekongkol dengan pihak lain di luar negara.
Guan Eng jangan masuk Johor
Sementara itu, kira-kira 200,000 ahli Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Guan Eng yang memburuk-burukkan Johor di luar negara.
Ketua Penerangannya, Abdullah Md. Yusuf berkata, pihaknya juga menasihatkan Guan Eng agar tidak berkunjung ke negeri ini jika merasakan ia tidak selamat untuk dilawati.
"Kalau dia kata negeri Johor tak selamat, jangan melangkah masuk ke negeri ini, sebaliknya jagalah negeri sendiri dan bela nasib rakyat Pulau Pinang yang masih memerlukan perhatian daripada Ketua Menterinya.
"Apa pun dia sebenarnya sudah terlajak kata seperti kata pepatah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Dakwaannya itu telah menelanjangkan dirinya sendiri selaku pemimpin yang tidak bijaksana untuk mengurus tadbir negerinya sendiri, " katanya.
Dakwaannya itu telah menelanjangkan dirinya sendiri selaku pemimpin yang tidak bijaksana untuk mengurus tadbir negerinya sendiri, " katanya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Melayu Johor Bahru berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng itu.
"Sebaik sahaja DAP diketuai oleh Guan Eng di Pulau Pinang, kita dapati ada sahaja masalah yang dihadapi oleh rakyat, malah banyak demonstrasi dan rasa tidak puas hati diluahkan oleh rakyat, namun dia dengan egonya tidak memberikan perhatian terhadap segala isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
"Dia tidak memberi layanan sama rata antara kaum, malah menjalankan dasar perkauman khususnya dalam kalangan orang Melayu," katanya.
Di Ipoh, Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhutang permohonan maaf yang cukup besar dengan kerajaan dan rakyat Johor kerana memburuk-burukkan negeri tersebut.
Katanya, tindakan Guan Eng itu akan menjejaskan usaha kerajaan Johor untuk membangunkan negeri yang sedang berkembang maju itu.
''Biarlah apa yang berlaku ini membuka mata orang ramai terhadap Guan Eng," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi dari Wilayah Wenzhou dan Foochow, China, hari ini.
Menurutnya, sudah menjadi taktik biasa Guan Eng memburuk-burukkan pihak lain untuk menaikkan imej beliau sendiri.
"Selama tiga tahun menjadi Ketua Menteri, Guan Eng mengkritik bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk meningkatkan profil beliau," katanya.
No comments:
Post a Comment