My Add

Sunday 25 September 2011

Komponen BN boleh tukar kerusi - Muhyiddin


Oleh Veena Rusli

PARTI komponen Barisan Nasional (BN) boleh saling bertukar kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berdasarkan komposisi profil pengundi mengikut kaum di kawasan terbabit jika wujud keperluan berbuat demikian atas persetujuan bersama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Ketika ini, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, adalah sukar bagi pucuk pimpinan tertinggi memberi komitmen terhadap permintaan hampir semua parti komponen untuk menambah bilangan kerusi diwakili berikutan tiada persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya rasa, besar kemungkinan parti komponen BN mengekalkan bilangan kerusi sedia ada (status quo) pada pilihan raya umum akan datang kerana tidak ada pihak mahu melepaskan kawasan diwakili melainkan ada parti sedia bertukar kerusi atas dasar suka sama suka bersandarkan alasan tertentu.
"Kalau ada persetujuan bersama seperti itu, kita tiada masalah kerana mungkin profil pengundi sudah berubah dan sebagainya. 

"Bagaimanapun, kalau nak ambil kuota parti lain, susahlah sebab kerusi parti lain akan berkurangan. Keputusan akhirnya akan bersandar kepada fakta sebenar dan formula kerjasama BN yang sudah lama terjalin," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Ke-13, di Pusat Kebudayaan Penampang, Sabah, semalam. 

Hadir sama Presiden UPKO yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. 

Muhyiddin berkata, BN berpegang kepada formula agihan kerusi di kalangan parti komponen diguna pakai sejak sekian lama pada peringkat nasional dan negeri yang bertunjangkan muafakat dan perbincangan sebelum keputusan diambil. 
Katanya, pertambahan kerusi hanya akan berlaku jika SPR berpendapat persempadanan semula perlu dilaksanakan berdasarkan penilaian keadaan semasa. 

"Kalau ada kawasan baru, pimpinan BN akan berbincang sebelum kita tentukan parti komponen mana berhak bertanding kerana ada pertambahan kerusi. 

"Sekarang tiada kawasan baru, macam mana nak beri (tambahan kerusi) kecuali ada parti kata dia tak nak kerusi dan serahkan kepada (pucuk pimpinan) BN untuk tentukan parti mana layak bertanding. 

"Selain itu, aspek pembahagian juga mempunyai hubung kait sama ada BN boleh memenangi kerusi itu atau tidak. Setiap kawasan ada profil pengundi dan dalam BN kita ambil kira profil pengundi pecahan mengikut kaum dan sebagainya. 

"Jika kerusi dituntut satu parti, tetapi kawasan lebih memihak kepada komponen lain, perlu ada keputusan yang menyebelahi kepada kemenangan BN kita dan pertimbangan politik ini perlu diberi perhatian," katanya. 

Mengenai dua kerusi Parlimen dan dua DUN dimenangi Parti Maju Sabah (SAPP) atas tiket BN sebelum keluar daripada BN tiga tahun lalu, Muhyiddin berkata, Musa perlu mendapatkan pandangan semua parti komponen di Sabah secara kolektif sebelum membawanya kepada Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN. 

Mengulas usul UPKO supaya Timbalan Pengerusi BN kedua dilantik dari kalangan parti komponen di Sabah dan Sarawak, seterusnya dinamakan Timbalan Perdana Menteri kedua bagi mengimbangi pelaksanaan dasar pembangunan, Muhyiddin berkata, sebarang cadangan boleh dibawa kepada pimpinan tertinggi. 

"Kita ada saluran jawatankuasa tertinggi BN dianggotai pemimpin semua parti komponen. Mereka boleh kemukakan apa saja dan kita pertimbangkan. 

"Setakat itu saja boleh saya komen dan selebihnya terserah. Saya rasa lebih elok ini dibawa kepada pihak tertinggi untuk dibincang daripada kita bercakap secara terbuka, berdebat pro dan kontra, tetapi akhirnya tidak dapat kelebihan menguntungkan parti," katanya. - Berita Harian. 

Berita Harian.

No comments:

Post a Comment