My Add

Monday 26 September 2011

Saya beli tanah, rumah ikut nilai pasaran - Khir Toyo

BEKAS Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa beliau membeli dua lot tanah termasuk sebuah rumah di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di Shah Alam daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni dengan harga pasaran.

Mohamad Khir, yang memilih memberi keterangan dari kandang saksi berkata, harga belian itu (RM3.5 juta) dipersetujui oleh Shamsuddin sendiri sebelum ataupun semasa kedua-dua mereka menandatangani perjanjian jual beli bagi urusan pembelian rumah itu pada Mei 2007.

Ketika ditanya peguam M. Athimulan yang mewakili Mohamad Khir bahawa sebelum ataupun semasa tandatangani perjanjian jual beli, adakah Shamsuddin memberitahu Mohamad Khir harga belian tidak cukup, beliau menjawab: “Tidak pernah”.

Beliau turut memberitahu pihaknya tidak mendesak ataupun mempengaruhi pemikiran Shamsuddin bagi membolehkan Shamsuddin bersetuju dengan harga belian RM3.5 juta.

Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki. - Bernama
TAJUK-TAJUK BERITA LAI

No comments:

Post a Comment