Oleh HAKIMI ISMAIL
PUTRAJAYA: Kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin goyah apabila gagal dan tidak berani menyatakan pendirian sebenar mengenai hukum Hudud.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pendirian pakatan pembangkang yang menghormati pendirian Pas dalam hal itu tetapi pada masa sama menerima perbezaan pendirian DAP yang menentang pelaksanaannya menampakkan kegusaran pembangkang untuk menyebelahi satu-satu pihak.
Menurutnya, keputusan tersebut menampakkan sikap sebenar pembangkang yang suka berdolak-dalik dalam sesuatu isu sehingga mengelirukan rakyat.
“Kita tidak boleh percaya sangat dengan keputusan pembangkang itu, mereka bila-bila masa sahaja boleh menafikan atau menarik balik segala keputusan yang dibuat.
“Kita tunggu dan lihat sahaja sampai bila pendirian itu akan kekal, keputusan mereka yang menyatakan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga hanyalah ayat pemanis mulut semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan mesyuarat parti-parti pembangkang yang menyatakan pakatan itu tidak akan melaksanakan hukum hudud seperti dicadangkan Pas kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.
Isu mengenai perlaksanaan hukum hudud menjadi antara agenda perbincangan utama kini apabila hasrat untuk melaksanakannya dibangkitkan semula oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.
Bagaimanapun, hasrat Nik Abdul Aziz itu mendapat tentangan daripada DAP terutamanya Karpal Singh yang beranggapan ia tiada dalam kesepakatan dasar pembangkang seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.
Menurut Mohd. Shafie, larangan pakatan pembangkang kepada semua pemimpinnya daripada mengeluarkan kenyataan berhubung perbalahan mereka dalam isu pelaksanaan hukum hudud juga jelas bertentangan dengan kebebasan bersuara dan demokrasi yang dilaung-laungkan mereka selama ini.
Dalam pada itu, Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, rakyat perlu sedar tujuan sebenar pembangkang mengeluarkan isu lapuk terutamanya menjelang musim pilihan raya.
“Mereka hanya mahu meraih publisiti daripada setiap isu yang dikeluarkan, satu persatu isu yang dibangkitkan sehingga masyarakat terpengaruh.
“Oleh itu masyarakat perlu memahami dan mengetahui hakikat sebenar bahawa pembangkang tidak akan membawa sebarang perubahan dalam pembangunan negara,” katanya.- Utusan
No comments:
Post a Comment