My Add

Monday 26 September 2011

Pentadbiran Pas Kedah sekadar 'syok sendiri'

KERAJAAN Pas Kedah disifatkan sebagai 'syok sendiri' apabila mengatakan pentadbirannya  membuat pelbagai perubahan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) ketika parti itu memerintah negeri ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak itu dibuat dari sudut pihak pemerintah yang mahu menjaga kredibiliti akibat mendapat kritikan hebat pelbagai pihak.

Bagaimanapun kata beliau, rakyat negeri ini sebenarnya yang akan memberikan jawapan mereka pada pilihan raya umum akan datang terhadap kemampuan Kerajaan Pas Kedah selepas diberi peluang selama lebih tiga tahun mentadbir negeri ini.

"Kalau ditanya kepada pemimpin kerajaan negeri, mereka tetap kata berjaya. Mereka sudah buat itu dan ini tetapi penilaian terletak di tangan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Koperasi Serbaguna Mukim Bukit Lada Kedah Berhad dan Mini Ekspo peringkat Parlimen Pokok Sena di Kampung Bukit di Pokok Sena, semalam.

Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin baru-baru ini mengkritik Kerajaan Pas Kedah kerana tidak membawa sebarang perubahan terutama dalam meningkatkan syiar Islam selain hanya mengekalkan dasar yang telah dilaksanakan oleh BN tanpa membuat penambahbaikan.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir turut membuat saranan supaya Azizan melepaskan jawatan Menteri Besar kerana melihat pemimpin itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada rakyat

Azizan dalam reaksinya berhubung kritikan itu menafikan perkara tersebut dengan memberi alasan kerajaan negeri yang diketuai beliau telah membuat pelbagai perubahan yang lebih baik daripada BN.

Ahmad Bashah berkata, beliau banyak mendengar rungutan daripada rakyat negeri ini yang mengharapkan perubahan pembangunan tetapi apa yang dilaksanakan oleh pentadbiran Kerajaan Pas Kedah adalah sebaliknya.

Beliau memberikan contoh rungutan penduduk terhadap keadaan jalan raya yang rosak dan sempit menyebabkan mereka mahu mengetahui mengenai kedudukan baki wang peruntukan penyelenggaraan jalan tahun lalu yang berjumlah hampir RM100 juta yang dimasukkan ke dalam sebuah tabung amanah.

Malah, kata beliau, projek yang dibangga-banggakan oleh kerajaan negeri seperti pembinaan kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) merupakan cetusan idea kerajaan negeri BN yang menubuhkan kolej berkenaan sebelum ini.- Utusan.

No comments:

Post a Comment