My Add

Tuesday 27 September 2011

‘Mereka tidak hormat perlembagaan’



TINDAKAN kumpulan protes yang menimbulkan kekecohan pada majlis anjuran Pas, Ahad lalu menunjukkan mereka menghalang sistem demokrasi negara.

Menurut laporan Sinar Harian, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, tindakan itu jelas menunjukkan mereka tidak menghormati perlembagaan dan undang-undang negara.

“Kita hanya menganjurkan majlis jamuan raya dan ceramah tetapi mereka seolah-olah tidak puas hati sehingga menimbulkan kekecohan, menyebabkan dua cedera.

“Kita bimbang jika tidak dibendung, ia akan berterusan sehingga pilihan raya umum akan datang. Justeru, pihak berkuasa diharap telus menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Sementara itu peguam Pas, Syed Fuad Syed Ahmad berkata, tindakan saman ganti rugi akan diambil terhadap individu atau pihak yang menyebabkan kecederaan kepada dua mangsa.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan meneliti setiap laporan diperoleh dan tindakan saman bergantung kepada pengecaman polis terhadap mereka yang terlibat.

“Masih terlalu awal untuk saya mengulas mengenai insiden ini tetapi kami bersedia membantu polis untuk melancarkan proses siasatan,” katanya. 


Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sememangnya menjadi sasaran utama kumpulan protes sehingga mereka bertindak nekad merempuh sekatan petugas Pas yang mengawal jalan masuk ke lokasi ceramah.

Abdu Star Nor Mohd, 57, yang berada di lokasi kejadian berkata, walaupun kehadiran kumpulan itu sejak jam 8.40 malam, namun ketika itu keadaan masih terkawal.

“Mula-mula mereka hanya menjerit melaungkan kata-kata tidak puas hati terhadap Mat Sabu dan tiada sebarang serangan berlaku tetapi tiba-tiba, satu kumpulan antara enam hingga lapan orang datang serentak mahu merempuh sekatan petugas Pas.

“Saya dan beberapa rakan cuba menghalang sebab mereka kata mahu jumpa dengan Mat Sabu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kekecohan timbul apabila mereka masih enggan berganjak dan mula melontar batu serta botol air mineral dari seberang jalan.

Abdu Star yang juga Pengerusi Tetap Pas Kawasan Seremban berkata, pihaknya percaya kumpulan terbabit nekad mahu menyerang Mat Sabu.

No comments:

Post a Comment