My Add

Thursday 29 March 2012

977 mangsa jenayah pemerdagangan manusia diselamatkan

KUALA TERENGGANU, KHAMIS, 29 Mac, 201: Seramai 977 mangsa jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) sepanjang 2008 hingga Mac ini. 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd Yasin berkata, daripada jumlah berkenaan golongan wanita masih muncul mangsa tertinggi dalam jenayah itu.

Katanya, berdasarkan Sekretariat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), sehingga kini seramai 595 orang wanita berjaya diselamatkan manakala 260 orang terdiri daripada mangsa lelaki dan 122 orang kanak-kanak.

"Ia membabitkan pelbagai jenis kes termasuklah eksploitasi seks, perhambaan dan eksploitasi buruh tanpa dibayar gaji," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Kesedaran Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini. 

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said serta isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud. 

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang tempoh yang sama sebanyak 439 kes dan 621 tangkapan direkodkan dan disiasat oleh agensi-agensi penguat kuasa di seluruh negara. 

Malah sebanyak 412 kes dituduh mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 di mana sebanyak 64 kes selesai dan 78 kes telah disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun beliau berkata, kes-kes berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia di negara ini dapat dibendung dan diatasi dengan baik apabila negara kini berada pada tahap kedua (dalam pemerhatian) mengikut laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat. 

TIP adalah senarai kedudukan negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan orang dan penilaian dilaksanakan setiap tahun oleh jabatan itu. 

"Pada 2009, kita berada di tahap tiga (membimbangkan) bagaimanapun dengan penganjuran kempen besar-besaran yang dilaksanakan bagi mendidik masyarakat mengenai jenayah seumpama ini, ia dapat mengekang masalah ini daripada berleluasa," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment