PETALING JAYA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Sekurang-kurangnya separuh daripada bilangan golongan muda yang layak untuk mendaftar sebagai pemilih tidak berminat berbuat demikian, menurut kaji selidik firma tinjauan pendapat, Merdeka Centre dan Institut Kebangsaan Integriti Pilihan Raya (NIEI).
Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian, berkata kajian yang dijalankan tahun lalu itu mendapati mereka yang berumur antara 21 dan 30 tahun tidak berminat kerana mereka merasakan ia tidak penting atau memerlukan tindakan segera.
Ia membabitkan 2,400 responden berusia 21 tahun ke atas yang dipilih secara rawak daripada 240 daerah mengundi di 60 kawasan Parlimen seluruh negara.
"Responden juga menegaskan bahawa mendaftar sebagai pemilih, atau mengundi, tidak membawa apa-apa perubahan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Laporan Audit Daftar Pemilih Kebangsaan 2011, di sini.
Ibrahim berkata, walaupun satu juta pemilih baru mendaftar dalam tempoh lebih setahun, bilangan golongan muda yang tidak menyedari hak mereka untuk mengundi, adalah masih tinggi.
"Kajian itu menunjukkan bilangan mereka yang tidak berdaftar adalah tinggi di kalangan Bumiputera Islam dan Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak, dan golongan yang berusia antara 21 dan 30 tahun yang tinggal di kawasan bandar," katanya.
Dalam perkembangan lain, pemangku Pengerusi NIEI, K Shan, berkata NIEI sudah menyerahkan laporan cadangan penambahbaikan pilihan raya kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Berhubung Pilihan Raya pada Januari lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment