KUALA SELANGOR, SABTU, 31 Mac, 2012: Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Teng Chang Khim menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Exco pada persidangan DUN, membuktikan kerajaan pakatan pembangkang itu ketika ini berada dalam keadaan "caca-marba".
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa tindakan Teng itu jelas menunjukkan kesemua pemimpin kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu termasuk Menteri Besar dan anggota Exco tidak tahu mengenai peranan masing-masing.
"Seharusnya perkara sebegini tidak berlaku tetapi apabila semua pihak dalam kerajaan pakatan tidak tahu peranan masing-masing dan semua mahu tunjuk pandai, ini yang terjadi.
"Tindakan (menghantar SMS) tersebut seterusnya merendahkan serta satu penghinaan terhadap kebolehan Exco, seolah-olah Exco ini tidak tahu buat kerja sehingga terpaksa Speaker pula yang memberi arahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Larian 'Secupak Budi, Sepenuh Hati' anjuran Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) di sini, hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment