My Add

Friday 30 March 2012

Anak peguam ke penjara

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Anak seorang peguam hari ini dipenjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan parah kepada bekas pengawal keselamatan, dua tahun lalu.

Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh, Prajiv Lionel Proctor di akhir kes pembelaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini dan tidak membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu.
Tertuduh dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman.

Prajiv, 30, yang bekerja sebagai pemandu pelancong di Melaka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Mohd Al-Hafiz Abdullah, 27, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging di dalam Kaunter Stadium Hoki, Kompleks Sukan Bukit Jalil, Cheras pada jam 9.05 malam, 23 April 2010.

Kejadian itu menyebabkan Mohd Al-Hafiz mengalami kecederaan pada leher kanan, belakang badan (belikat) kanan, lengan kanan dan kiri, jari telunjuk kanan, paha, lutut kiri, betis kanan dan di bawah punggungnya.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan. 

Terdahulu, peguam V Rajehgopal yang mewakili Prajiv memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya supaya Prajiv boleh melanjutkan pelajarannya yang tergendala di sebuah kolej di Australia akibat kejadian yang berlaku.

"Bapa Prajiv adalah seorang peguam dan kesalahan yang dilakukan adalah kesalahan pertamanya," kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Shashitah Mohd Hanifa memohon hukuman berat kerana tertuduh menyebabkan kecederaan yang teruk kepada mangsa dan hukuman yang diberikan bukan saja dapat memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi kepada orang lain.

Pihak pendakwaan mengemukakan seramai enam saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi termasuk tertuduh untuk memberi keterangan.

Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah mangsa, Mohd Al-Hafiz bersama bapanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment