My Add

Friday, 30 March 2012

Yakinkan negara maju kaji sekatan terhadap Myanmar

NAYPYITAW, Myanmar, RABU, 29 Mac, 2012: Malaysia, yang menyokong proses pembaharuan yang berlaku Myanmar, akan cuba menyakinkan negara-negara maju agar mengkaji semula sekatan yang dikenakan terhadap negara tersebut.

Jaminan itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemu Presiden U Thein Sein sempena lawatan rasmi dua harinya ke Myanmar yang berakhir hari ini.

"Kalau tidak dapat dihapuskan sama sekali tapi perlulah dikaji dan dikurangkan secara beransur-ansur,” kata Najib kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatannya di sini.

Najib berkata, beliau dan pemimpin Myanmar itu telah berbincang mengenai pembaharuan yang berlaku di negara tersebut yang disifatkan Thein Sein sebagai “mustahil untuk kembali kepada keadaan sebelum ini”.

Katanya, Malaysia berkeyakinan dengan perubahan yang berlaku dengan Myanmar “baru” dan ia kini berada dalam transisi kepada menjadi lebih terbuka, lebih demokratik dan progresif.

Beliau berkata respons komuniti antarabangsa sepatutnya mencerminkan penerimaan dan pengiktirafan mereka terhadap proses pendemokrasian yang berlaku di Myanmar.

Najib berkata, antara perkembangan penting dalam pembaharuan yang cuba dilaksanakan Myanmar ialah pilihan raya kecil pada Ahad ini.

"Jika ia (pilihan raya) berlaku secara adil, ia akan menyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa pembaharuan yang berlaku adalah sesuatu yang akan berjalan berterusan,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment