My Add

Thursday 29 March 2012

Pembinaan infrastruktur asas luar bandar lepasi sasaran

PETALING JAYA, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLBW) telah berjaya melepasi sasaran dalam pelaksanaan Projek Pembangunan Infrastruktur Asas Luar Bandar yang ditetapkan setakat Februari lepas, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, pencapaian empat sektor infrastruktur yang dilaksanakan iaitu pembinaan jalan raya, pembekalan air bersih, pembekalan elektrik dan projek perumahan amat memberangsangkan walaupun terdapat cabaran, khususnya berkaitan faktor geografi, yang perlu ditangani dalam melaksanakan inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) itu.

"Bagi projek pembinaan jalan, kementerian berjaya melepasi sasaran 61 kilometer yang ditetapkan apabila jalan raya sepanjang 174.15km telah disiapkan di seluruh negara menjelang akhir bulan lepas.

"Dalam projek pembekalan air bersih terawat, sebanyak 8,016 isi rumah di seluruh negara telah mendapat bekalan air bersih setakat 29 Feb tahun ini.

Maknanya hampir 98 peratus luar bandar di Semenanjung Malaysia telah dibekalkan air bersih, manakala di Sabah dan Sarawak ia adalah antara 60 hingga 65 peratus,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program televisyen berjudul ”Kampung Kita” di Seri Pentas di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata kementerian tersebut menyasarkan sebanyak 201,192 rumah di seluruh negara akan dibekalkan air bersih menjelang akhir tahun ini.

Bagi bekalan elektrik, KPLBW menyasarkan 39,442 rumah di luar bandar akan mendapat bekalan menjelang akhir tahun ini manakala 14,565 buah rumah baru dan pembaikpulihan akan dapat dilaksanakan sehingga akhir tahun ini.

Kampung Kita merupakan program kolaborasi KPLBW dengan TV3 selama 30 minit yang berkonsepkan majalah dan akan mulai bersiaran 4 April di TV3.

Ia mengandungi 26 episod yang memaparkan inisiatif kerajaan untuk membangunankan kawasan luar bandar selaras dengan arus pembangunan perdana.

Program itu juga bertujuan mengaplikasikan objektif kementerian dalam menjana komuniti luar bandar yang progresif dengan memperkayakan modal insan, infrastruktur dan ekonomi yang mampu bersaing dalam persekitaran lestari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment