My Add

Thursday, 29 March 2012

Dadah: Dua wanita Myanmar antara empat dihukum gantung

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Dua wanita Myanmar dan dua warga tempatan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didapati bersalah terhadap pertuduhan mengedar dadah tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha dalam penghakimannya di akhir kes pembelaan berkata, kesemua tertuduh telah gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

"Pembelaan mereka tidak logik dan sukar dipercayai, lagipun tiada alasan untuk tidak mempercayai kredibiliti saksi-saksi pendakwaan terutamanya anggota dan pegawai polis yang memberi keterangan dalam kes ini,” jelas Ghazali.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan Ambiya Mohamad, 40; Arafah Abu, 30; Lim Siau Seng, 32 dan K. Vigneswaran, 27, menitiskan air mata dan memeluk ahli keluarga masing-masing yang cuba menenangkan mereka.

Mereka didakwa mengedar dadah seberat 212 gram, terdiri daripada 162.3 gram heroin dan 50.3 gram monoacetylmorphines.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di kawasan letak kereta, Jalan Manis 6, hadapan Maybank, Taman Segar, Cheras, lebih kurang 6.05 petang pada 3 April 2009.

Peguam Datuk P.M. Nagarajan mewakili Ambiya dan Arafah, sementara peguam Rajpal Singh mewakili Lim dan Vigneswaran. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment