My Add

Friday 30 March 2012

KDN haramkan tiga buku ajaran Syiah dari Indonesia

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mac, 2012: Tiga buah buku iaitu “Pengantar Ilmu-Ilmu Islam”, “Dialog Sunnah Syi’ah” dan “Tafsir Sufi Al-Fatihah” terbitan Indonesia yang menyebarkan fahaman Syiah diharamkan penjualannya kerana bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.

Beliau berkata, buku-buku itu akan dibawa kepada Seksyen Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan sebelum diserahkan kepada KDN untuk diwartakan.

"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius berhubung penyebaran ajaran berkenaan di mana pada 25 Ogos tahun lepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas 35,000 buku dan risalah mengenainya yang diharamkan KDN setelah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment