NAYPYIDAW, KHAMIS, 29 Mac, 2012: Malaysia yakin pendemokrasian politik yang sedang berlaku di Myanmar adalah satu proses berterusan yang akan menjadikan negara ini lebih terbuka, demokratik serta lebih progresif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai rakan yang sentiasa berada di sisi pada waktu susah dan senang, Malaysia akan terus menyokong dan memberi galakan kepada Myanmar agar pembaharuan politik itu berjaya.
"Dalam pertemuan saya dengan Presiden Thien Sein, beliau menegaskan perubahan yang berlaku adalah satu proses berterusan dan mereka tidak akan berpatah balik. Kita akan memberi sokongan dan galakan kepada mereka,'' katanya pada sidang akhbar di hari terakhir lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar di sini.
Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Chua Tee Yong. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment