My Add

Saturday 31 March 2012

Pelaksanaan NKRA luar bandar Sarawak cemerlang

KUCHING, SABTU, 31 Mac, 2012: Sebahagian besar daripada pelaksanaan projek Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di Sarawak menepati atau melebihi sasaran yang ditetapkan, kata Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Beliau berkata, antara pencapaian berkenaan ialah dalam projek jalan raya luar bandar, bekalan air, bekalan elektrik dan projek bantuan rumah.

Bagi projek jalan raya, secara keseluruhannya sepanjang 222.95 kilometer berjaya disiapkan dengan kos berjumlah kira-kira RM455.57 juta, katanya kepada pemberita selepas majlis Program Mesra Rakyat di Kampung Git, kira-kira 60 kilometer dari sini.

Katanya, selain itu, sebanyak 18,052 buah rumah berjaya dibekalkan dengan kemudahan air paip berbanding sasaran awal kementerian sebanyak 13,024 buah rumah, yang membabitkan kos berjumlah RM626.39 juta. 

Mengenai projek Bekalan Elektrik Luar Bandar, beliau yakin sasaran sebanyak 21,792 buah rumah dilengkapi kemudahan itu akan dapat dicapai dalam tahun ini berikutan sebanyak 14,123 buah rumah sudah berjaya dibekalkan dengan elektrik. 

Shafie berkata, kawasan Tanjung Manis dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai pusat pertumbuhan di bawah Program Transformasi Luar Bandar di Sarawak. 

Beliau berkata, pusat pertumbuhan itu akan dilengkapi pejabat agensi kerajaan serta perkhidmatan untuk kemudahan masyarakat luar bandar di kawasan itu dan sekitarnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment