My Add

Friday, 30 March 2012

Demonstrasi desak Guan Eng jelas isu tapak masjid

GEORGETOWN, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Lebih 50 orang ahli pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai demonstrasi secara aman di sini hari ini mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng, memberi penjelasan mengenai dakwaan kerajaan negeri menjual tapak masjid di Bayan Mutiara di sini. 

Mereka berarak sejauh satu kilometer dari Masjid Simpang Enam selepas solat Jumaat dan berkumpul di perkarangan KOMTAR membawa sepanduk dan kain rentang yang tertulis pelbagai kata-kata desakan.

Antaranya ialah "Kembalikan Tanah Masjid di Bayan Mutiara", "Rakyat Mendesak Tanah Masjid Bayan Mutiara Diwakafkan" dan "Pulangkan Tapak Masjid".

Antara NGO yang menyertai perhimpunan itu ialah Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Suara Anak-anak Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah Malaysia, Persatuan Anak Jati Melayu Islam Pulau Pinang dan Badan Bertindak Rakyat Tertindas Pulau Pinang. 

Beberapa wakil pertubuhan itu kemudian naik ke aras tiga bangunan KOMTAR yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Pembantu Khas Ketua Menteri, Marziah Mohd Mukhtar. 

Jurucakap penganjur perhimpunan itu, Mohd Rizuad Mohd Azudin, berkata mereka tidak puas hati dengan jawapan "tiada komen" yang sering diberikan Lim jika isu mengenai tanah itu dibangkitkan. 

"Kami minta Ketua Menteri Pulau Pinang dapat memberikan jawapan secara bertulis dalam tempoh tujuh hari.

"Buktikan slogan 'Competency, Accountability dan Transparency' yang selalu dilaungkan kerajaan negeri, bukan sekadar retorik politik semata-mata. Rakyat berhak tahu perkara sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi perhimpunan itu. 

Kontroversi tanah Bayan Mutiara timbul selepas kerajaan negeri dilaporkan menjual tanah seluas 41.5 hektar itu kepada sebuah syarikat pemaju dengan harga RM1.07 bilion. 

Tanah itu dianggap berharga dan lokasinya strategik kerana terletak berdekatan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment