My Add

Friday 30 March 2012

Warga Kemboja ditahan cuba beri rasuah

MELAKA, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Seorang warga Kemboja ditahan kerana cuba memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa ketika operasi penguatkuasaan bersepadu Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka bersama 10 badan dan agensi kerajaan lain, semalam. 

Pengarah CIDB Melaka, Norlida Nabil, berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di satu tapak pembinaan di Mukim Ayer Panas, Jasin kerana tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah, tinggal melebihi had tempoh masa dan menyalahguna pas lawatan.

Beliau berkata, lelaki terbabit cuba memberi wang RM230 sebagai sogokan kepada anggota penguat kuasa.

"Lelaki itu kemudian ditahan reman Jabatan Imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama 14 hari bermula semalam bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Beliau berkata, operasi itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam industri khususnya syarikat pembinaan serta orang awam terhadap pentingnya mematuhi akta berkaitan industri pembinaan. 

Operasi itu dilakukan di empat lagi tapak projek pembinaan iaitu di Cheng, Sungai Udang, Taman Saujana Bukit Katil dan Kampus Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). 

Norlida berkata, hasil operasi mendapati terdapat kerja pembinaan yang dilaksanakan dengan menggunakan perakuan pendaftaran kontraktor yang sudah luput. 
"Notis memberhentikan kerja serta merta dikeluarkan CIDB Melaka terhadap sebuah syarikat kontraktor atas kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 25 Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520)," katanya. 

Beliau berkata, pihaknya mengesan kira-kira 80 peratus daripada 400 pekerja yang diperiksa tidak memiliki Kad Hijau iaitu kad yang dikeluarkan CIDB bagi mendaftarkan semua pekerja di tapak binaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment