My Add

Friday 30 March 2012

Kerabat diraja, kenamaan, rakyat ziarah jenazah Raja Ashman

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Almarhum Raja Datuk Seri Ashman Shah, 54, di Balairongseri Istana Iskandariah, di Kuala Kangsar, hari ini. Almarhum Raja Ashman Shah mangkat di kediamannya di Bukit Damansara pada 1.30 pagi tadi dan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar. - Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, JUMAAT, 30 Mac, 2012: Kerabat diraja dan orang kenamaan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menziarahi jenazah anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di sini. 

Raja Ashman, 54, mangkat di kediamannya di Kuala Lumpur awal hari ini akibat serangan asma.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba kira-kira 3.40 petang untuk menziarahi jenazah yang ditempatkan di ruang khas tingkat dua bangunan istana berkenaan.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara bersama-sama kesemua anggota keluarga diraja itu berada di Istana Iskandariah. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut berada di ruang berkenaan. 

Bacaan ayat suci al-Quran juga diperdengarkan oleh hadirin yang menziarahi jenazah Almarhum. 

Perasaan hiba dan sayu menyelubungi suasana di istana berkenaan terutama balu baginda, Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Ahmad Nazim Azlan Shah serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah dan Raja Bainunisa Safia. 

Turut kelihatan ibu bapa dan keluarga Noraini Jane. 

Orang awam tidak putus-putus menziarahi jenazah Almarhum sejak 11 pagi. 

Terdahulu, turut menziarahi ialah Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment