My Add

Friday 30 March 2012

Peguam didakwa pecah amanah RM12j wang Orang Asli

KUALA LUMPUR, JUMAATT, 30 Mac, 2012: Peguam S Kanawagi, 71, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 11 pertuduhan pecah amanah melibatkan dana tabung amanah "Linggui Valley Orang Asli Trust" berjumlah RM12 juta. 

Anaknya K Dinesh Kanavaji, 34, juga seorang peguam, turut mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan bersubahat dalam meluluskan pengeluaran RM7 juta daripada tabung amanah itu.

Bagi pertuduhan pertama, Kanawagi didakwa dengan curangnya telah meluluskan pengeluaran RM7 juta daripada tabung amanah itu bagi pembelian 27 unit kondominium di Lantai Gurney, Jalan Semarak antara 14 Julai 2008 hingga 13 Julai 2009.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa membuat dua pemindahan telegrafik membabitkan RM328,279 pada 2003 dan RM47,933 pada tahun berikutnya. 

Kanawagi juga menghadapi tujuh pertuduhan mengeluarkan wang daripada akaun amanah itu dari tahun 2001 hingga 2008, membabitkan nilai antara RM21,500 dan RM1,158,160. 

Bagi pertuduhan ke-11, dia didakwa telah bertindak bertentangan dengan "trust deed" dengan mengeluarkan wang sebanyak RM2.2 juta untuk membayar seorang bernama Hamzah Mohamed Tahir. 

Semua 11 pertuduhan itu didakwa dilakukan di pejabat guamannya di Tetuan Khana & Co di No 3, Jalan Abdullah, Off Jalan Bangsar.

Dinesh Kanavaji pula didakwa bersubahat dengan ayahnya dalam meluluskan pengeluaran RM7 juta dalam pembelian kondominium berkenaan untuk kepentingannya serta syarikat Virgin Properties, di mana tertuduh adalah seorang daripada anggota lembaga pengarah syarikat berkenaan. 

Hakim Mahmud Abdullah menetapkan jaminan sebanyak RM700,000 dengan dua orang penjamin kepada Kanawagi, manakala Dinesh Kanavaji pula dikenakan ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin. 

Beliau mengarahkan kedua-duanya menyerahkan paspot antarabangsa kepada mahkamah dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes. 

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Manjeet Singh Dhilon manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read dan C Vignesh Kumar. 

Pada 11 Mei tahun lalu, Kanawagi telah dipenjara enam tahum dan didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen setelah didapati bersalah menggunakan surat wakil kuasa yang dipalsukan dalam menyediakan afidavit membabitkan satu hartanah di Bangsar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment