My Add

Thursday 29 March 2012

Tajaan jersi QPR sebahagian pelan perniagaan MAS - PM

KUALA LUMPUR, RABU, 29 Mac, 2012: Penajaan jersi Queens Park Rangers (QPR) oleh Malaysia Airlines (MAS) adalah sebahagian daripada pelan perniagaan untuk mempromosi dan mengukuhkan MAS sebagai syarikat penerbangan premium pilihan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, inisiatif tersebut merupakan platform publisiti yang baik kerana penyiaran di dalam lebih daripada 380 perlawanan Barclays Premier League setiap musim akan mempromosi MAS secara lebih meluas, dengan anggaran 3.51 juta orang penonton di serata dunia.

"Selain itu, penajaan ini juga merupakan inisiatif penjenamaan semula MAS bagi meningkatkan hasil syarikat,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan, dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Choo Keong ingin mengetahui sama ada keputusan dilakukan sewenang-wenangnya untuk menaja jersi QPR sebanyak RM18 juta, beliau juga ingin mengetahui mengenai pembatalan laluan oleh Firefly dan diambil alih oleh MAS.

Mengulas pengambilalihan perkhidmatan operasi jet Firefly oleh MAS, Najib berkata ia merupakan sebahagian daripada rancangan pemisahan perkhidmatan di bawah penyusunan semula perniagaan.

"Pelaksanaan penyusunan semula perniagaan adalah bagi menangani isu kerugian berterusan yang ditanggung oleh operasi jet Firefly.

"Program ini dilaksanakan atas dasar sektor-sektor dan semua operasi jet Firefly telah diserap ke dalam operasi MAS mulai Disember 2011,” katanya.

Menurutnya, Firefly akan meneruskan perkhidmatan operasi turboprop daripada Lapangan Terbang Subang dan Pulau Pinang dan meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan di laluan sedia ada.

"MAS kekal komited dalam mengendali dan menyediakan perkhidmatan terus ke Kota Kinabalu dan Kuching, manakala perkhidmatan bagi lain-lain laluan di Sabah dan Sarawak disediakan MASWings Sdn Bhd, syarikat milik penuh MAS,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment