My Add

Thursday, 29 March 2012

Persahabatan dua negara diperkukuh

NAJIB diiringi Thein Sein selepas memeriksa kawalan kehormat pada sambutan rasmi lawatan dua hari Perdana Menteri ke Myanmar, semalam.Malaysia-Myanmar capai kata sepakat 10 perkara 


Oleh Mahfar Ali dari Nypitaw, Myanmar

PERSAHABATAN Malaysia-Myanmar, semalam diperkukuhkan lagi apabila kedua-dua negara mencapai kata sepakat dalam 10 perkara ke arah mempereratkan dan memperluaskan hubungan dua hala serta usaha sama yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Persetujuan dicapai dalam pertemuan Datuk Seri Najib Razak dengan Presiden Myanmar, Thein Sein sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara ini.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas pertemuan itu serta mesyuarat delegasi di Pejabat Presiden di sini petang semalam, Najib dan Thein Sein menyuarakan kedua-duanya berpuas hati dengan hubungan pada semua peringkat termasuk pertumbuhan positif dalam sektor perdagangan dan pelaburan. 

Mereka antara lain bersetuju meningkatkan hubungan politik menerusi pertukaran lawatan pada semua peringkat bagi memperkukuhkan kerjasama antara kerajaan dan kerajaan serta hubungan rakyat kedua-dua negara. 

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju mengadakan mesyuarat pertama Suruhanjaya Bersama diketuai Menteri Luar masing-masing bagi mempermudahkan kerjasama berterusan dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama. 

Persetujuan lain adalah: 
*   Komited meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta memperluaskan kerjasama dalam sektor berpotensi di Myanmar, terutama bidang perladangan, pertanian, tenaga, pembinaan, pengeluaran, telekomunikasi dan pelancongan di mana Malaysia mempunyai kepakaran dan pengalaman. 

*   Berpuas hati dengan kerjasama rapat kedua-dua negara dalam bidang tenaga kerja dan sumber manusia. Kedua-dua negara juga memperakui pentingnya sumbangan tenaga buruh Myanmar dalam pembangunan ekonomi Malaysia. 

*   Bersedia memperbaharui kerjasama dalam sektor pelancongan dengan matlamat meningkatkan interaksi dan persefahaman rakyat serta pembangunan ekonomi kedua-dua negara. 

*   Bersetuju meneruskan kerjasama dalam bidang pembinaan keupayaan menerusi kursus latihan yang dikenal pasti di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). 

Dalam kenyataan bersama itu, mereka juga mengalu-alukan kerjasama dalam bidang latihan untuk pegawai diplomatik muda dan peringkat pertengahan Myanmar berikutan negara itu akan mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada 2014. 

Selain itu, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang sukan menerusi bantuan dan perkongsian pengalaman sejajar dengan persiapan Myanmar menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun depan. 

Terdahulu, Najib diberi sambutan permaidani merah setibanya di negara ini. Pesawat khas Perdana Menteri dan rombongan, termasuk isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyitaw pada 2.30 petang (4 petang waktu Malaysia). 

Ketibaan Najib disambut Menteri Luar Myanmar Wunna Muang Lwin. Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Dr Ahmad Faisal Mohamed. 

Pada sambutan rasmi di Pejabat Presiden Myanmar selepas itu, Perdana Menteri dan Rosmah disambut oleh Presiden Thein Sein dan isteri, Khin Khin Win. Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormat, diikuti pertemuan dengan Presiden sebelum berlangsung perbincangan peringkat delegasi. - BERIA HARIAN

No comments:

Post a Comment