NAJIB bersama (dari kiri) Hassan, Azmi, Alang dan Suat Ling berkongsi kegembiraan pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran MPI-PETRONAS 2011, di Kuala Lumpur, malam tadi.
Entiti bebas laksana peranan imbang periksa pentadbiran
Oleh S Anand Kumar
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan amat menyedari keperluan dan peranan media yang bebas, adil dan bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perkembangan negara.
Serentak itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menghormati kedudukan media sebagai entiti bebas yang melaksanakan peranan imbang periksa terhadap pentadbiran kerajaan.
“Apakah faktor yang menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah negara? Adakah ia faktor sumber asli, kepemimpinan, institusi, corak demografi, geografi, sistem nilai atau kombinasi faktor yang berkenaan serta faktor lain yang tidak disebut.
“Kita menyaksikan dalam sejarah ada negara yang mempunyai sumber alam yang melata dan modal insan yang produktif namun menjadi negara yang gagal.
“Ada juga negara yang berjaya sebahagian daripada perjalanan tetapi kemudian mula terbantut proses pembangunannya, manakala ada juga kategori yang walaupun tandus sumber alam tetapi berjaya kerana gabung jalin faktor lain yang dimiliki.
“Jawapan kepada persoalan ini bukan mudah tetapi saya yakin dan percaya peranan dan kepentingan pihak media tidak dapat dinafikan,” katanya pada majlis Malam Wartawan Malaysia 2012 dan penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2011 di sini, malam tadi.
Turut hadir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Chamil Wariya.
Najib berkata, media turut berperanan penting dalam menyalurkan pelbagai maklumat kepada rakyat.
“Jika media sesebuah negara tidak memainkan peranan sepatutnya sebagai cerminan nurani, aspirasi, denyut nadi dan keluh kesah rakyat dengan menyebar maklumat, mendidik, advokasi dan mencetuskan debat terhadap isu semasa, dasar awam dan kepentingan umum secara adil dan bertanggungjawab maka media sebenarnya tidak menjalankan khidmatnya kepada negara, rakyat dan kerajaan,” katanya.
“Seperti yang selalu saya sebut era kerajaan mengetahui segala-galanya, era kerajaan mempunyai monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir,” katanya.
Najib berkata, barangkali langkah yang dilaksanakan kerajaan selama ini digemari pihak antarabangsa hingga menyaksikan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia bagi 2011, bertambah baik berbanding tahun sebelumnya.
“Di kalangan 178 negara yang dipantau oleh organisasi Reporters Without Borders itu, kita kini pada tangga 122 berbanding 141 pada 2010, naik 19 anak tangga.
“Di kalangan negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar,” katanya. - BERUTA HARIAN
No comments:
Post a Comment