LUMUT, SABTU, 31 Mac, 2012: Seramai 689 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berpangkalan di sini, hari ini, menerima baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM344,500.
Baucar bernilai RM500 untuk setiap penerima itu disampaikan oleh Menteri Pengangkutan yang juga Anggota Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha pada majlis di Dewan Sidek KD Pelandok di sini.
Seorang penerima, Laskar 1 Rosny Wati Shaari, 30, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan skim berkenaan untuk rakyat berpendapatan rendah.
Sebagai seorang ibu tunggal, katanya wang bantuan itu akan digunakan untuk perbelanjaan harian dan persekolahan anaknya yang berusia enam tahun.
"Dengan perbelanjaan seharian yang semakin meningkat sekarang ini, bantuan yang diterima sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya yang terpaksa hidup tanpa suami," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment