GEORGETOWN: Lebih 700 pembeli rumah kos rendah dan sederhana rendah Halaman Kenanga di Bayan Baru, dekat sini, kesal dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang menghalang pemasangan lampu dan kipas di kediaman mereka walaupun mendapat kunci rumah pada 4 Mac lalu.
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Kos Rendah dan Sederhana Rendah Halaman Kenanga, Habibur Rahman Seeni Mohamed, berkata arahan tersebut dikeluarkan PDC dengan menyerahkan satu salinan injunksi mahkamah dan memo arahan.
Beliau berkata, apa yang menimbulkan tanda tanya, mengapa kebenaran menduduki unit kediaman itu dikeluarkan sedangkan lampu dan kipas tidak boleh dipasang menyebabkan pembeli tidak dapat berpindah masuk ke unit kediaman mereka.
Katanya, terkini pihak pemaju mengeluarkan arahan terbaru selepas jawatankuasa ini dijadualkan berjumpa dengan pihak pengurusan PDC pada jam 3 petang ini.
"Saya minta PDCP bertanggungjawab dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat kotakan janji pada 4 Mac...majlis penyerahan kunci. Ini adalah janji palsu!," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment