My Add

Saturday 15 September 2012

250 jemaah umrah salahguna visa termakan hasutan ketua

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 September, 2012: Tindakan 250 jemaah umrah kelolaan Destinasia Travels Sdn Bhd (Destinasia) yang menyalahguna visa umrah dan dihantar pulang kerajaan Arab Saudi baru-baru ini, berpunca daripada hasutan dua ketua mereka.

Pengarah Destinasia, Aminuddin Rahman, berkata siasatan mendapati kedua-dua ketua jemaah umrah itu menghilangkan diri apabila mengetahui perbuatan mereka dikesan wakil muassasah dan pihak berkuasa Arab Saudi.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini, beliau berkata kesemua jemaah itu dipengaruhi supaya tinggal di Arab Saudi melebihi tempoh visa umrah dengan harapan dapat mengerjakan ibadah haji apabila masuk musim haji bulan depan.

Kesemua 250 jemaah umrah itu dihantar pulang ke Malaysia secara berperingkat berakhir Selasa lalu.

"Insiden itu memberi kesan terhadap nama baik syarikat serta nama baik negara dan bagi mengelak insiden itu berulang, saya akan membuat laporan polis terhadap ketua-ketua jemaah yang terbabit dalam isu ini," katanya.

Aminuddin berkata, mereka adalah antara 300 jemaah yang memperoleh visa umrah melalui syarikat Destinasia dan daripada jumlah itu, hanya 50 orang mematuhi pakej yang ditawarkan.

Katanya, Destinasia tidak berhadapan dengan sebarang denda berhubung isu berkenaan dan kesemua 250 jemaah umrah terbabit, pulang ke tanah air tanpa ditahan pihak imigresen Arab Saudi.

Beliau berkata, pihaknya tidak melakukan sebarang kesilapan dalam mengendalikan pakej umrah kerana segala prosedur pengeluaran visa yang ditetapkan pihak berkuasa sudah dipatuhi.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment