My Add

Sunday 16 September 2012

3,000 peluang kerja untuk bekas tentera

*AHMAD Zahid Hamidi merasmikan buku Pelan Strategik Pembangunan Sosioekonomi Veteran Tentera Malaysia Tidak Berpencen di PWTC, Kuala Lumpur, kelmarin. Turut hadir, Ilyas Din (dua kiri) dan Muhammad Abdul Ghani (kiri).

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 September, 2012: Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan setiap tahun kepada anggota veteran tentera tidak berpencen oleh beberapa syarikat yang telah memberikan komitmen bekerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut antara yang diberi penekanan oleh Perhebat dalam Pelan Strategik Sosioekonomi bagi memperoleh kerjaya kedua.

''Bagi yang tidak berminat dengan peluang kerjaya kedua dan mahu menyertai bidang keusahawanan, pihak Unit Kerjasama Awam dan Swasta di bawah Jabatan Perdana Menteri menawarkan pinjaman sehingga RM50,000.

''Mana-mana veteran yang berhajat mahu memulakan perniagaan, boleh mendapatkan borang permohonan daripada Perhebat bagi dikemukakan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan buku Pelan Strategik Pembangunan Sosioekonomi Veteran Tentera Malaysia Tidak Berpencen di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Perhebat, Tan Sri Ilyas Din dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Sempena majlis itu, Interlink Impact Holding Sdn. Bhd. telah menaja akhbarUtusan Malaysia sebanyak 1,000 naskhah untuk diagihkan secara percuma kepada hadirin dan orang ramai.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata, beliau telah meminta Perhebat meneliti secara terperinci bentuk bantuan kepada 70,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berumur 60 tahun ke atas melalui pelan itu.

Selain Perhebat, pihaknya turut meminta Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) untuk melakukan perkara sama.

''Kita mengharapkan pembentangan Bajet 2013 pada 28 September nanti akan mengambil kira kebajikan tidak berpencen terutamanya yang berusia 60 tahun ke atas," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment