My Add

Sunday 16 September 2012

Jualan RTC RM150 juta sebulan

LARUT, SABTU, 15 September, 2012: Inisiatif kerajaan menubuhkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) mula menunjukkan kesan yang amat positif apabila nilai jualan di pusat tersebut kini mampu mencecah RM150 juta sebulan walaupun baru lapan bulan beroperasi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, nilai jualan itu direkodkan di RTC Wakaf Che Yeh, Kelantan dengan kehadiran pengunjung mencecah sehingga 5,000 orang setiap hari.

''Di RTC Gopeng, Perak pula, walaupun pembinaannya belum siap sepenuhnya, nilai jualan yang direkodkan sudah mencapai RM150,000 seminggu dengan kehadiran pengunjung sehingga 2,000 orang setiap hari.

''Kita percaya, jika sudah siap sepenuhnya menjelang Oktober ini, nilai jualan barangan serta produk di pusat tersebut akan meningkat seperti di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, perkembangan positif itu menunjukkan matlamat kerajaan untuk merangsang kemajuan serta meningkatkan pendapatan golongan peniaga kecil khususnya di luar bandar sudah menampakkan kejayaan.

RTC yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak Februari lalu adalah pusat integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, latihan dan kemahiran, penjagaan kesihatan dan ruang niaga.

RTC Gopeng dan RTC Wakaf Che Yeh juga berperanan sebagai platform bagi golongan muda luar bandar untuk mendapatkan peluang pekerjaan dan melatih diri dalam bidang kemahiran tertentu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment