My Add

Tuesday 4 September 2012

39 laporan polis seluruh negara

Oleh WAN NOHAYATI WAN ALIAS, AZRAI MOHAMMAD
ABDUL YAZID ALIAS dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR, ISNIN, 03 September, 2012: Kemarahan orang ramai terhadap peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar pemimpin negara dan menghina Jalur Gemilang semasa sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di Dataran Merdeka pada malam Khamis lalu memuncak apabila sebanyak 39 laporan polis dibuat di seluruh negara sehingga kini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, laporan-laporan tersebut dibuat pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

"Pihak polis akan menyiarkan beberapa gambar individu terbabit yang dipercayai boleh membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebanyak enam NGO daerah Gombak itu mengecam perbuatan biadab peserta berkenaan dengan satu laporan polis dibuat oleh wakil mereka iaitu Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak, Datuk Said Anuar Said Ahmad.

"Perbuatan memijak gambar pemimpin negara dan isteri merupakan perbuatan biadab, tidak berakal dan tidak bermoral serta tidak menghormati pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Ia Ibarat memijak agama dan bangsa kami," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu di Balai Polis Gombak, di sini hari ini.

Antara NGO yang turut hadir adalah Barisan Bertindak Gombak, Persatuan Silat Lincah Gombak, Belia 4B dan Ikatan Masyarakat Penyayang.

Di SHAH ALAM, sebanyak 10 laporan polis dibuat oleh wakil-wakil NGO di negeri itu bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak terlibat dalam insiden memijak gambar Perdana Menteri serta mempamerkan bendera baru bagi menggantikan Jalur Gemilang.

Tegas mereka, tindakan itu juga perlu dikenakan terhadap individu yang menunjukkan punggung ke atas gambar Perdana Menteri yang dilaporkan semasa sambutan ambang ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 di Dataran Merdeka.

Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin yang mengetuai laporan di Balai Polis Seksyen 6, di sini kira-kira pukul 3 petang ini berkata, pihaknya mahu pihak berkuasa memandang serius insiden tersebut yang merupakan perbuatan biadab dan mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

Selain mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948, pihaknya mahu tindakan pihak berkuasa melucutkan kerakyatan terhadap mereka yang didapati melakukan perbuatan berkenaan.

"Insiden pada malam sambutan berkenaan adalah satu tindakan yang melampaui batas. Mereka yang terlibat itu seolah-olah cuba menghasut orang ramai mencabar kedaulatan negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain GAPS, antara NGO yang turut membuat laporan polis itu adalah Waris Malaya, Majlis Belia Petaling dan Majlis Belia Klang.

Sementara itu, bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong turut menyifatkan insiden tersebut sebagai perbuatan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat.

Katanya, kaum Cina yang turut sama dalam insiden berkenaan dalam Himpunan Janji Bersih sepatutnya sensitif mengenai tindakan tersebut dan tidak ghairah untuk mencapai kepentingan politik tertentu.

"Kaum Cina yang terlibat dalam perhimpunan itu sepatutnya menghormati sensitiviti antara kaum dan berpegang kepada prinsip perpaduan dan keharmonian di negara ini.

"Saya khuatir, tindakan sedemikian boleh mencetuskan isu perkauman yang boleh memburukkan keharmonian antara rakyat di negara ini," katanya yang turut mahu tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Di KOTA BHARU, Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan turut membuat laporan polis berhubung tindakan biadab kumpulan tersebut yang telah melakukan provokasi itu.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Anuar Safian membuat laporan itu di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada pukul 2.30 petang ini dengan disertai kira-kira 30 orang ahli pergerakan tersebut.

Anuar berkata, laporan berkenaan juga dibuat berhubung tindakan beberapa ahli Pemuda PKR yang mengaku secara terang-terangan membawa beberapa helai bendera seakan-akan menyerupai bendera Singapura dan Indonesia sebagai cadangan untuk menggantikan Jalur Gemilang.

Di ALOR SETAR, Pemuda UMNO Kedah membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap peserta Perhimpunan Janji Bersih yang memijak gambar pemimpin negara serta menghina Jalur Gemilang.

Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Aminuddin Omar yang ditemani kira-kira 15 ahli pergerakan berkenaan membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini pada pukul 11.30 pagi.

Aminuddin berkata, pergerakan tersebut memandang serius tindakan kumpulan peserta himpunan berkenaan dan berasa tercabar dengan sikap penghinaan ke atas pemimpin negara.

Di SIK, PDRM dan Jabatan Peguam Negara digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang biadab melakukan provokasi mahu menukar Jalur Gemilang, memijak gambar Perdana Menteri serta memaki-hamun pemimpin negara di Dataran Merdeka.

Permintaan itu dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Daerah Sik dalam laporan polis yang dibuat oleh Timbalan Pengerusinya, Mohd. Fuzi Dolah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Pengerusinya, Mohd. Fazil Sudin berkata, pihaknya membuat laporan polis tersebut berikutan tindakan kumpulan terbabit yang dipercayai didalangi pembangkang seolah-olah mahu menyisihkan simbol negara yang sekali gus boleh menimbulkan kemarahan rakyat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment