Anwar Ibrahim |
TANAH MERAH, AHAD, 02 September, 2012: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Pakatan Rakyat (PR) akan menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bersandarkan cara perjuangan yang telus bukan dengan melontarkan fitnah serta mengaibkan orang lain seperti dilakukan segelintir pemimpin Barisan Nasional (BN).
Ketua Pembangkang berkata, isu fitnah semakin berleluasa, namun dengan perjuangan atas dasar Islam, beliau yakin menang kerana mahu bela nasib semua kaum, lebih baik daripada yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini.
Menurutnya, dahulu ketika cadangan batalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima tentangan.
“Pemuda UMNO kata akan ‘serang’ habis-habisan dengan masuk ke setiap kampung dan melontarkan fitnah bahawa saya pengkhianat dan pembohong kerana mengajar rakyat jangan bayar hutang.
“Saya hendak tolong rakyat miskin, tetapi mereka angkuh dan sombong dengan lontarkan tuduhan sedemikian.
"Pemimpin yang baik bukan bersandarkan berapa tinggi bangunan mereka bina sebaliknya berapa banyak hak rakyat diperjuangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Merdeka Rakyat di hadapan ribuan penyokongnya di padang Majlis Daerah Tanah Merah (MTDM).
Turut hadir, Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ghani; Pengerusi PKR Negeri, Abduk Aziz Kadir; Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan tokoh pimpinan setempat.
Anwar berkata, seorang pemimpin perlu tegas jangan hanya berani bercakap di belakang dan sebar fitnah bila masuk ke kampung-kampung, bila tiba hak rakyat dibincangkan banyak berdolak-dalik.
Tambahnya, jika PR menang pada PRU13 akan datang, harga minyak dan tarif elektrik seluruh negara akan diturunkan.
“Siapa yang miskinkan rakyat, bukan kaum Cina atau India yang halang, tetapi UMNO contohnya di negeri ini. Insya-Allah jika PR menang kita batalkan jawatankuasa khas untuk dapatkan royalti.
“Semua itu hanya buang masa, kita serahkan serta merta hak rakyat negeri, ini bukan janji kosong,” katanya.
Sehubungan itu, program jelajah Merdeka Rakyat merupakan sambungan dari 20 siri ceramah sebelum ini akan jadi medan untuk PR memberi penjelasan agar rakyat tidak terus diperdayakan berkaitan isu-isu penting dalam negara. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment