My Add

Monday 17 September 2012

AS arah kakitangan beredar

*PENUNJUK perasaan mencurahkan minyak tanah sebelum membakar karikatur Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semasa satu demonstrasi membantah penyiaran sedutan filem menghina Nabi Muhammad SAW di Kabul, Afghanistan, semalam. - AFP

WASHINGTONAHAD, 16 September, 2012: Amerika Syarikat (AS) mengarahkan kakitangan diplomatik mereka di Sudan dan Tunisia yang kurang penting untuk meninggalkan kedua-dua negara itu ekoran peningkatan bantahan ganas anti-AS berhubung penerbitan filem menghina Islam Innocence of Muslims.

AS turut memberi amaran kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan ke negara tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa Libya hari ini turut menahan kira-kira 50 orang suspek berhubung kes pembunuhan Duta AS, Chris Stevens dalam serangan penunjuk perasaan di Benghazi pada minggu lalu.

Empat orang maut dan 49 lagi cedera dalam serangan di Kedutaan AS di Tunisia kelmarin, manakala dua terbunuh di Sudan selepas penunjuk perasaan yang berang dengan penerbitan filem anti-Islam menyerang dan membakar Kedutaan Jerman, Britain dan AS di negara itu.

Jabatan Negara AS turut menggesa rakyat negara ini ‘mengelak sebarang demonstrasi awam dan perhimpunan politik’ kerana tunjuk perasaan yang dilihat aman boleh bertukar ganas.

Semalam, kumpulan al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) menggesa supaya lebih banyak keganasan dilancarkan terhadap diplomat AS di Asia Barat dan Afrika selain serangan ke atas kepentingan negara ini di Barat, menurut Kumpulan Perisikan SITE.

Ekoran situasi tegang itu juga, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton turut membuat panggilan telefon kepada rakan sejawatnya di Mesir, Arab Saudi, Turki, Britain dan Perancis, selain Libya dan Somalia dalam usaha untuk meraih sokongan.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Julia Gillard hari ini mengecam filem yang menghina Islam itu, tetapi menegaskan bahawa bantahan ganas di Sydney semalam tidak akan dimaafkan.

Beliau menyifatkan filem itu sebagai ‘menjijikkan’ dan menyatakan nilai kebebasan Australia menghormati semua agama.

Bangladesh turut mengecam filem itu dan menyatakan filem yang memburuk-burukkan Islam serta Nabi Muhammad S.A.W. itu bukan sahaja ‘menyakitkan hati tetapi juga melampau’.

Dalam pada itu, suspek penerbit filem kontroversi tersebut, Nakoula Basseley Nakoula, 55, dilaporkan bersembunyi selepas dia disoal siasat oleh penguatkuasa undang-undang, semalam.

“Selepas soal siasat selama setengah jam itu, dia dihantar ke satu tempat yang tidak didedahkan sebelum menghilang. Kami kini tidak tahu di mana dia berada. Apa yang pasti dia tidak pulang ke rumah," katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment