My Add

Friday 7 September 2012

BN sedia penuhi kehendak rakyat

MACHANG, KHAMIS, 06 September, 2012: Barisan Nasional (BN) akan membawa perubahan di Kelantan dengan Islam dijadikan model kemajuan dan kehebatan, bukannya sebagai modal politik jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, BN dan UMNO tidak mahu Islam dan hukum hudud hanya dipergunakan pada musim pilihan raya sebagaimana dilakukan oleh Pas yang sehingga kini gagal menunaikan janji-janji mereka selepas diberi mandat oleh rakyat.

Justeru katanya, BN bersedia memasukkan apa sahaja kehendak rakyat Kelantan seperti penyelesaian masalah air, pembinaan lebuh raya dan stadium dalam manifesto parti itu pada pilihan raya akan datang serta akan berusaha menunaikannya jika diberi mandat.

"Saya ingin melihat perubahan di Kelantan, kita akan bawa perubahan, Islam sebagai satu model, kita bawa Islam dengan kemajuan, kehebatan, kedua-duanya akan diperjuangkan oleh kerajaan BN. Kita tak mahu bawa Islam yang dilihat tidak membawa maruah, tak mahu Islam yang mana hukum hudud dijual sebagai modal pada pilihan raya.

"Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata, kalau menang di Terengganu fajar menyingsing ayam berkokok hudud akan dilaksanakan, ayam tersebut semakin tua dah, sampai sekarang tak buat hudud.

"Kita tak boleh jual beli hudud, hukum Allah. Kalau betul-betul nak Islam kenapa bersekongkol dengan DAP? DAP sayang, hormat Islam? Kita UMNO perjuang, martabatkan Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin; Ketua UMNO Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Ismail Saamah.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan kepada 200 rumah penduduk miskin yang akan dibaiki dalam waktu terdekat, selain pemberian duit raya kepada 40 anak-anak yatim Asrama Bakti di sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut mempersoalkan cara Pas yang kononnya memperjuangkan Islam menangani isu bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa hanya kerana pemimpin terbabit bersama-sama kerajaan memperjuangkan kepentingan Islam dan umat Islam.

Sedangkan kata Perdana Menteri, Pas sebenarnya boleh berpakat dengan kerajaan dalam isu tertentu sebagaimana ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mengutuk tindakan biadab peserta Himpunan Janji Hijau melondehkan seluar dan memijak gambar beliau.

"Saya telah menulis surat peribadi menyatakan terima kasih kepada Tuan Guru Nik Aziz, ini bermakna dalam perjuangan kita mesti ada prinsip, kalau ada perbezaan pendapat atau masalah atas isu tertentu kita boleh berpakat, atas isu kepentingan umat Islam, masa depan dan perpaduan umat Islam kita boleh berpakat," katanya.

Jelas Perdana Menteri lagi, Malaysia dihormati oleh dunia dan dianggap model terbaik oleh banyak negara Islam termasuk Mesir yang mahu menjalin kerjasama erat dengan negara ini.

"Jadi percayalah kita berada di landasan yang benar dan betul, dunia akui dasar transformasi nasional kita baik, kita jadi negara maju pada 2020," katanya.

Jika pada malam ambang kemerdekaan, gambar beliau dipijak oleh sekumpulan kecil individu, tetapi di negeri kubu kuat pembangkang ini, Datuk Seri Najib Tun Razak disambut meriah lebih 30,000 orang yang majoritinya memakai baju merah.

Orang ramai turut membawa dan mengangkat gambar Perdana Menteri dan sepanduk 'Saya Sayang PM' sebagai tanda sokongan kepada pemimpin tertinggi negara itu.

Sementara itu, Awang Adek dalam ucapannya berkata, sambutan tersebut membuktikan rakyat di negeri ini menyokong penuh kepemimpinan Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment