My Add

Sunday 16 September 2012

Dua murid PMR dikhuatiri lemas

JERANTUT, SABTU, 15 September, 2012: Kegembiraan 19 remaja dari Felda Sungai Retang mandi di Sungai Tembeling bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui mati lemas di Kampung Lubuk Payung petang semalam.

Norizwan Mohammad Nor, 15, pelajar tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Retang di sini yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini lemas ketika mandi kira-kira pukul 3.40 petang.

Menurut Ketua Polis Daerah, Supritendan Azid Ismail, mayat mangsa ditemui pukul 10.43 pagi ini dan dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat.

"Operasi mencari dan menyelamat yang disertai polis, Jabatan Pertahanan Awam, bomba dan penduduk kampung menemui mayat mangsa yang timbul di permukaan sungai," katanya ketika dihubungi hari ini.

Di KUCHING, seorang murid lelaki yang baru selesai menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Khamis lalu dikhuatiri lemas ketika bermain papan luncur di Sungai Sarawak berhampiran Kampung Sinjan, Petra Jaya hari ini.

Kejadian berlaku pukul 10.45 pagi ketika Zulhaziq Fadhzely Randy, 12, bermain papan luncur bersama bapa saudaranya, Awang Ahmad Awang Joly, 55, di sungai itu yang terletak 20 kilometer dari rumahnya.

Difahamkan, ketika mereka sedang leka bermain tiba-tiba papan luncur itu dipukul ombak kecil menyebabkan mangsa yang juga anak bongsu daripada enam beradik terjatuh dan lemas.

Bagaimanapun, Awang Ahmad terselamat selepas dibantu oleh penduduk kampung manakala Zulhaziq dihanyutkan ombak dan gagal dikesan.

Sehingga pukul 4 petang ini, mangsa yang merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Thomas belum ditemui dan usaha mencari serta menyelamat giat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment