Add caption |
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 07 September, 2012: Dua lagi individu yang dikehendaki polis membawa bendera 'Sang Saka Malaya' semasa Himpunan Janji Demokrasi pada malam Ambang Merdeka minggu lepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Aziz Zakaria berkata, kedua-dua individu yang masing-masing berumur 24 tahun itu ditahan polis selepas menyerah diri pada jam 2.30 petang tadi.
Katanya, kedua-dua lelaki terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 9(1)(a) Akta Hasutan dan polis akan menyiasat tindakan susulan sewajarnya yang akan dikenakan berdasarkan hasil siasatan.
"Setelah semua keterangan yang diperlukan untuk siasatan selesai direkodkan, mereka mungkin dibebaskan selewat-lewatnya malam ini dengan jaminan polis seperti mana empat individu yang menyerah diri sebelum ini," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Aziz berkata, kedua-dua individu itu hadir menyerah diri bersama peguam mereka untuk membantu siasatan.
Menurutnya polis masih memburu seorang lagi wanita dan lima individu lain yang didakwa memijak gambar pemimpin negara pada malam sambutan Ambang Merdeka itu dan jumlah individu yang menyerah diri setakat petang tadi adalah lima orang. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment