*RISALAH yang diedarkan semasa himpunan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka kelmarin.
SHAH ALAM , SABTU, O1 September, 2012: Tindakan beberapa individu yang membawa ’bendera baru’ kononnya tidak bersetuju dengan Jalur Gemilang sedia ada pada ambang Hari Merdeka di Dataran Merdeka malam kelmarin dibidas pelbagai pihak.
Malah gambar individu yang membawa bendera ini mula mendapat respons yang tinggi di laman web sehinggakan timbul perdebatan antara mereka yang menyokong dan membantah.
Tokoh Belia Negara 2011, Mohammad Rizan Hassan berkata, pihak bertanggungjawab harus menyiasat dan mengambil tindakan serta merta ke atas individu tersebut sekiranya dakwaan itu benar.
"Demokrasi memerlukan rakyatnya matang dan menggunakan hak berfikir dalam melakukan sesuatu. Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya mengetepikan semangat nasionalisme dan patriotisme.
"Amat melampau dan terlalu kurang ajar pihak yang bersungguh-sungguh mahu menukar Jalur Gemilang kepada bendera lain seakan-akan Indonesia dan Singapura,” katanya.
Katanya lagi, sikap kumpulan ini yang menyemai semangat benci kepada negara dan melakukan perbuatan memalukan adalah sikap jijik yang terlalu hina untuk diangkat sebagai warganegara Malaysia.
Sementara itu, Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris berkata, cubaan pihak yang mahu menukar Jalur Gemilang ini adalah serius kerana ia satu bentuk hasutan kepada rakyat.
"Wira Perkasa memandang serius perkara ini, kami menganggap pihak itu tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati negara dan raja-raja Melayu.
"Sikap-sikap yang tidak bertanggungjawab ini kebudak-budakan. Apakah tujuan sebenar mereka? Adakah mereka mahu negara ini menjadi sebuah republik?” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment