My Add

Wednesday 26 September 2012

'Jangan ambil sikap mudah'

Oleh Wan Zulkifli Wan Yaacob dan Siti Airunnisa Alaui
KUALA TERENGGANU, SELASA, 25 September, 2012: Rakyat diingat tidak mengambil mudah soal pemerintahan biarpun negara telah merdeka kerana kemerdekaan dan kerajaan yang dibentuk tidak semestinya memberi jaminan sesebuah negara itu akan maju dan rakyat terus sejahtera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak negara yang terlebih dahulu memperoleh kemerdekaan daripada Malaysia tetapi kerajaannya gagal memberi makna terhadap 'kemerdekaan' apabila rakyatnya masih menderita.

Katanya, tidak semua kerajaan berupaya untuk membela nasib rakyat dengan memberi hak sepatutnya seperti menyediakan kemudahan bagi kemajuan, keselamatan, keamanan, perlindungan serta penyaluran bantuan secukupnya.

"Bukan semua negara merdeka mampu lakukan itu kecuali negara yang dipimpin oleh kerajaan yang benar-benar mahu membantu dan prihatin kepada rakyat,'' katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad dekat sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Farid Wan Ahmad dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Sementara itu, Muhyiddin yakin Terengganu akan terus kekal di bawah Barisan Nasional (BN) dengan kemenangan lebih besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau menyifatkan kedudukan BN di negeri ini cukup kuat sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang berterusan membela nasib rakyat selain peranan kerajaan di peringkat Pusat.

Malah katanya, Terengganu kini sedang bergerak menjadi salah satu negeri termaju di negeri ini.

''Saya bagaimanapun berharap pihak pimpinan akan terus berusaha menyelesaikan masalah sekiranya masih wujud di peringkat kawasan ketika pilihan raya semakin hampir,'' katanya.

Muhyiddin turut mengajak rakyat di kawasan-kawasan yang dikuasai oleh pembangkang menilai semula peranan yang dimainkan oleh wakil rakyat yang mereka telah beri kepercayaan.

''Di Wakaf Mempelam sudah 30 tahun dikuasai Pas. Apa halnya ini? Apakah masyarakat tidak nampak perubahan yang dibawa oleh pimpinan BN dan kemampuan BN untuk membawa perubahan yang lebih besar,'' tegasnya.

Pada majlis itu, beliau meluluskan peruntukan RM1 juta bagi pembinaan dewan orang ramai di Wakaf Mempelam, RM400,000 bagi pembesaran surau dan dewan serta pembinaan gelanggang dan pembelian van bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment