My Add

Thursday 6 September 2012

Jenazah Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir selamat dikebumikan





BALU bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir, 67, Datin Seri Amla Salleh, 64, menyiram air mawar di pusara di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 06 September, 2012: Jenazah bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mahadzir Mohd Khir, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada jam 11.30 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya yang diimamkan adik iparnya Muntaha Salleh sebelum dibawa menaiki van jenazah ke kawasan pusara bagi pengebumian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hadir pada pengebumian itu, berkata Allahyarham memberi banyak sumbangan kepada negara melalui pelbagai jawatan yang dipegang sama ada dalam bidang akademik atau politik.

"Allahyarham akan sentiasa dikenang dan diingati kerana jasa serta kepakaran Allahyarham sebagai tokoh yang disegani.

"Saya sudah lama mengenali Allahyarham sejak Allahyarham berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah Universiti Malaya, malah Allahyarham yang saya kenali tidak pernah lokek ilmu," katanya.

Mahadzir, 67, meninggal dunia pada jam 4.30 petang semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimasukkan ke pusat itu petang Selasa akibat diserang angin ahmar.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Datin Dr Amla Mohd Salleh dan tiga anak lelaki, Muhamad Anas, 35, Mohd Syakir, 31 dan Mohamad Salleh, 27, dan seorang cucu perempuan, 8 bulan.

Dr Amla menyifatkan pemergian suaminya adalah satu kehilangan yang besar kepada beliau serta ahli keluarga yang lain.

"Sepanjang 39 tahun kami berkahwin, Allahyarham adalah pahlawan saya yang sentiasa memberi semangat serta dorongan kepada saya untuk meneruskan karier sebagai Profesor dalam bidang kaunseling kerjaya," katanya.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Fatimah Mohd, 84, berkata Mahadzir adalah anak yang baik serta taat kepada ibu bapa. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment