My Add

Friday 7 September 2012

Kastam tahan wanita Nigeria cuba seludup syabu RM725,000

SEPANG, JUMAAT, 07 September, 2012: Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menahan seorang wanita Nigeria yang cuba membawa masuk 2.9 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM725,000.

Pengarahnya, Badaruddin Mohamed Rafik berkata, suspek ditahan Ahad lepas ketika melalui kawalan kastam, sejurus tiba dari Mesir pada jam 8.20 malam selepas imbasan pada bagasinya menunjukkan imej meragukan.

"Pemeriksaan 100 peratus oleh Bahagian Penguatkuasaan KLIA menemui satu ruangan di bahagian bawah beg yang dibawa di mana tersorok dadah dalam ruangan itu," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.

Katanya, siasatan mendapati suspek berusia 28 tahun itu memasuki negara ini untuk kali ketiga dan dia kini direman 14 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang mengenakan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan.

Badaruddin berkata, kes itu adalah enam cubaan warga asing menyeludup masuk dadah di KLIA untuk tempoh 29 Jun hingga 2 September tahun ini, membabitkan rampasan dadah seberat 14.187 kg bernilai RM3.546 juta.

Katanya, dua daripada kes itu membabitkan dua lelaki warga Nigeria yang ditahan pada 29 Jun dan 4 Julai lalu, selepas didapati menelan dadah jenis syabu masing-masing seberat 1.296 kg dan 1.581 kg bernilai RM719,250 bagi tujuan penyeludupan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment