My Add

Friday 7 September 2012

UMNO, BN perlu kekal berkuasa: Muhyiddin

LANGKAWI, JUMAAT, 07 September, 2012: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu kekal berkuasa di Malaysia bagi memastikan asas pembinaan negara bangsa yang telah berlaku sejak merdeka dapat dipertahankan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemenangan UMNO dan BN bukanlah kerana mahukan kuasa politik dan kemenangan parti sahaja, sebaliknya kerana ia merupakan benteng negara kepada ancaman dan idelogi yang dibawa dari negara luar.

"Adalah penting untuk BN dan UMNO menjadi benteng daripada asakan-asakan pengaruh luar yang tidak secocok dengan nilai-nilai agama, nilai ketimuran dan nilai Malaysia yang telah kita ketahui sejak sekian lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini hari ini.

Beliau berkata kerana itu, UMNO dan BN perlu betul-betul kukuh untuk mendapat sokongan dan mandat yang besar supaya kerajaan mempunyai kekuatan untuk menentukan asas pembinaan negara bangsa yang berteraskan prinsip Rukunegara dapat dilaksanakan.

"Umpamanya, prinsip Keluhuran Perlembagaan daripada pihak-pihak yang mempertikaikan apa-apa yang disenaraikan seperti kedudukan raja-raja, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan bangsa lain yang cuba digugat," katanya.

Muhyiddin berkata ketika ini ada pihak yang cuba membawa fahaman yang liberal, asas hormat menghormati tidak diamalkan dan suara yang dianggap ekstrem.

"Tiap-tiap hari berlaku. Ini semua tak berlaku sebelum 2008. Ada macam satu keghairahan di pihak pembangkang nak berkuasa, tak de batas... mereka boleh buat apa sahaja.

Walaupun negara ini mengamalkan demokrasi... boleh buat apa sahaja tetapi kena buat dalam lingkungan undang-undang batas budaya, hormat menghormati.

"Ini mereka cadangkan bendera ditukar, pijak gambar Perdana Menteri, sokong seks bebas, LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual). Kalau nak senarai berpuluh-puluh, malah beratus-ratus petanda yang amat bertentangan dengan nilai Malaysia sebenar," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini semua boleh dihalang dengan membangkitkan kekuatan rakyat dengan sokongan kepada parti yang selama ini membentuk negara dengan membina asas seperti Rukunegara, Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

"Kemenangan BN dalam pilihan raya boleh pertahankan nilai-nilai dan asas benteng yang boleh mempertahankan negara daripada keruntuhan nilai yang tak sesuai dengan negara," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment