My Add

Friday 7 September 2012

Menteri minta klinik kesihatan pantau pusat asuhan

BANGI, JUMAAT, 07 September, 2012: Klinik kesihatan serta klinik ibu dan anak di seluruh negara diminta menyalurkan maklumat mengenai teknik penyusuan botol yang betul kepada pengasuh di pusat asuhan bagi menangani kes bayi tersedak susu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, banyak insiden bayi mati akibat tersedak susu botol berpunca daripada teknik yang tidak betul.

"Sekarang penyusuan botol juga meliputi susu ibu yang bekerja dan terpaksa menyimpannya sebelum diberi secara botol oleh pengasuh atau penjaga anak mereka," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden seorang bayi lelaki berusia 17 bulan yang mati semalam akibat tersedak susu botol di kediaman keluarganya di Desa Indah, Relau, George Town, Pulau Pinang.

Pada masa yang sama, Liow berkata, pihaknya amat menggalakkan penyusuan ibu namun pada masa ini kadarnya belum mencapai tahap yang membanggakan.

Sementara itu, mengulas pembentangan Belanjawan 2013, Liow berharap kerajaan dapat meluluskan peruntukan yang lebih baik untuk kementeriannya dalam usaha memastikan perkhidmatan lebih sempurna terutama di luar bandar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment