My Add

Tuesday 18 September 2012

KETENGAH untung RM53 juta tahun lepas

KUALA TERENGGANU, SELASA, 18 September: Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd (KSKHSB) yang mempunyai tujuh pecahan syarikat telah mencatat keuntungan selepas cukai untuk tahun 2011 berjumlah RM52,982,229 berbanding RM38,940,179 tahun sebelumnya.

Ini menunjukkan capaian pertambahan sebanyak RM14,042,050 untuk tahun lepas.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata KSKHSB ini terdiri daripada syarikat-syarikat perladangan dan perkilangan yang mana aktiviti utamanya adalah mengeluar dan memproses kelapa sawit, kecuali Ketengah Holding yang merupakan syarikat induk iaitu syarikat pelaburan.

Katanya enam lagi syarikat tersebut ialah Ketengah Perwira Sdn Bhd, YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd, Ketengah Jaya Sdn Bhd, Kebunika Sdn Bhd, Ladang Ternak Tani Sdn Bhd dan Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd.

"Kuntungan KSKHSB itu diperoleh terutama dari kumpulan perladangan dan perkilangan yang meningkat 36.06 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pembayaran zakat RM1,324,556 kumpulan itu bagi keuntungan 2011 yang dilakukan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ibrahim Mohamad kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu Datuk Mohd Rozali Salleh di sini hari ini.

Ahmad yang juga Pengerusi Jemaah Lembaga Ketengah berkata sumber keuntungan yang diperoleh adalah dari aktiviti utama iaitu kelapa sawit di samping pelaburan portfolio dan pelaburan dalam saham amanah.

"Bagaimana pun, peningkatan harga kelapa sawit merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan kumpulan itu di samping kecekapan dalam menguruskan syarikat," katanya.

Beliau berkata harga purata bersih kelapa sawit buah tandan segar (BTS) yang dapat dicapai pada tahun lepas adalah sekitar RM690 setiap satu metrik tan berbanding tahun sebelumnya sekitar RM639 setiap satu metrik tan yang meningkat sebanyak 8.0 peratus.

Katanya, purata harga minyak sawit mentah yang dapat dicapai pula ialah RM3,200 setiap satu metrik tan dan isirung sawit RM2,150 setiap satu metrik tan.

"Daripada keuntungan itulah membolehkan kumpulan berkenaan mengeluarkan zakat pada jumlah berkenaan (RM1,324,556)," katanya.

Ahmad berkata keseluruhan kawasan yang mengeluarkan hasil berjumlah 6,873 hektar, dengan keseluruhan hasil yang dapat dikeluarkan pada tahun lepas oleh kesemua ladang itu berjumlah RM145,546.

Manakala Kilang Rakyat Ketengah Perwira berjaya memproses sebanyak 234,392 metrik tan BTS, yang diperoleh daripada ladang-ladang berkaitan dan juga ladang luar. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment