My Add

Monday 24 September 2012

Koo Ham tidak patut 'terlepas'

Oleh HASHIM P. MAMAT
PADANG RENGAS, AHAD, 23 September, 2012: Polis diminta segera membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menimbulkan kemarahan pelbagai pihak kerana mempersoalkan protes umat Islam terhadap filem Innocence Of Muslims.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menegaskan, siasatan segera wajar dilakukan bagi membolehkan Jabatan Peguam Negara membuat pendakwaan mengikut peruntukan undang-undang.

''Sebagai menteri undang-undang, saya sendiri memantau isu ini dan Koo Ham tidak sepatutnya 'terlepas' daripada undang-undang kerana kenyataannya sangat serius.

''Setakat ini sudah 370 laporan polis dibuat terhadap Koo Ham, polis seharusnya mempercepatkan proses membuat kertas siasatan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di sini hari ini.

Koo Ham mencetuskan kemarahan banyak pihak selepas mengeluarkan kenyataan melalui laman sosial Twitter mempersoalkan protes umat Islam terhadap filem arahan Sam Bacile itu sebagai banyak membuang masa dan tenaga.

Tweet itu berbunyi: "Khairy mahu umat Islam memprotes Sam Bacile. Ia untuk Islam atau kepentingan politiknya? Adakah umat Islam membuang banyak masa dan tenaga untuk ini?"

Mohamed Nazri berkata, jumlah laporan polis itu membuktikan orang ramai mahu supaya kes itu disiasat segera dan pemimpin DAP itu diambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, tindakan Koo Ham yang meminta maaf tetapi menyalahkan orang lain seolah-olah mempersenda perasaan umat Islam yang terguris ekoran kenyataannya dalam laman sosial tersebut.

''Kita tidak mahu proses siasatan yang terlalu perlahan menimbulkan andaian bahawa pemimpin sebegini akan terlepas daripada undang-undang sedangkan kenyataannya itu sangat serius dan boleh menimbulkan ketegangan," tegasnya.

Mohamed Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, kenyataan Koo Ham itu mencerminkan sikap DAP yang selama ini tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

''Dia (Koo Ham) bukan satu-satunya pemimpin DAP yang bersikap demikian. Sikap mereka juga boleh dilihat melalui pendirian (Pengerusi DAP) Karpal Singh dalam pelaksanaan isu hukum hudud," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment