My Add

Saturday 15 September 2012

Maritim Malaysia patah cubaan samun kapal MTScorpio

JOHOR BAHRU, SABTU, 15 September, 2012: Cubaan enam warga asing bersenjatakan sepucuk pistol dan parang untuk menawan 12 anak kapal tangki, MT Scorpio di perairan Tanjung Piai, Pontian semalam, berjaya digagalkan.

Penjenayah terbabit melarikan diri dengan sebuah bot kayu dalam kelajuan tinggi menuju ke perairan negara jiran sejurus bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tiba di tempat kejadian.

Seramai 12 anak kapal MT Scorpio yang didaftarkan di Tarawa, Kiribati terdiri daripada 10 rakyat Indonesia, seorang rakyat China dan seorang rakyat India yang telah diikat dengan tiga daripada mereka cedera akibat dipukul suspek, berjaya diselamatkan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pada pukul 2.15 petang pihaknya menerima maklumat risikan mengenai sebuah bot kayu yang berada dalam keadaan mencurigakan sedang merapati MT Scorpio.

"Sejurus tiba, kita lihat sebuah bot kayu telah meninggalkan tempat itu dengan tergesa-gesa. Hasil pemeriksaan mendapati 12 anak kapal berusia dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun telah diikat.

"Pemeriksaan lanjut menemui enam bilah parang yang ditinggalkan suspek dan seluruh ruang kapal telah digeledah dengan barangan milik peribadi seperti wang tunai dan telefon bimbit dirampas semasa ditawan suspek tengah malam semalam.

"Kita percaya selain menyasarkan rompakan ke atas barang milik peribadi, mereka juga menjual minyak serta merampas kapal untuk dijual ke negara lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment