My Add

Thursday 6 September 2012

Melayu terpinggir, usah salahkan kaum lain: Hadi

SHAH ALAM, KHAMIS, 06 September, 2012: Sambil menegaskan agar jangan menyalahkan kaum lain jika orang Melayu terpinggir kerana kesilapan sendiri, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempelawa ahli-ahli UMNO menyertai parti itu jika mahu menyelamatkan kaum sendiri.

Katanya, tempoh masa lebih setengah abad sudah mencukupi bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada UMNO menjadi teras Barisan Nasional (BN) memimpin negara.

Sehubungan itu tegas beliau, "jangan salahkan kaum lain sekiranya berlaku kesilapan sehingga Melayu, agamanya, bangsanya dan bahasanya terpinggir."

Kata beliau, semua kaum telah menerima hakikat secara perlembagaan bertulis bahawa Islam agama persekutuan, hak istimewa Bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Raja berperlembagaan.

"Kalau mahu selamatkan Melayu dan perkasakannya, wajib masuk Pas yang mendaulatkan Islam, bukannya masuk UMNO yang memikul Islam tanpa pelaksanaan sepenuhnya setelah lebih satu abad memikul amanah.

"Inilah pembetulan yang wajib dilakukan," kata beliau dalam satu tulisannya dalam Harakahdaily hari ini.

"Melayu Tegakkan Islam yang sempurna, bersama Pas Melayu selamat dan semua kaum juga akan selamat, kerana Islam itu Rahmat ALLAH kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.

"Tegakkan Melayu dengan mengapikan semangat perkauman, Islam hanya sampingan, Melayu bersama UMNO, tidak mampu lagi memimpin kerana hilang maruah dan lemah jiwanya. Selamat berhijrah kepada ahli-ahli Umno kepada Pas," kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Marang ini menambah, kelemahan kuasa politik Melayu terhakis adalah kerana mengatur strategi kemenangan UMNO secara salah dan jangka pendek.

"Kelemahan politik Melayu di Singapura, Pulau Pinang dan Pantai Barat, adalah kerana penyusunan kerusi menguatkan kuasa UMNO bukannya memperkasakan Melayu Islam.

"Melayu ditanam semangat hanya UMNO parti tunggal yang menjaga hak Melayu, seolah-olah mengganti Tuhan Maha Esa, memberi rezeki dan menyara hidup mereka," katanya lagi.

Abdul Hadi menambah, kaum lain boleh memilih parti lain dan menguasainya, termasuk apabila MCA, MIC dan Gerakan tidak bermaya, mereka berpindah kepada DAP atau PKR atau Dewan Himpunan Penyokong Pas.

"Maka Melayu terus berpaut dengan ranting UMNO yang sudah berpenyakit dan menyalahkan kaum lain," katanya lagi.

Beliau menambah, kedudukan jumlah kerusi Melayu masih besar kerana kedudukan majoritinya, tetapi jumlah kerusi tanpa perubahan politik dalam kalangan bangsa Melayu sendiri tidak mampu mempertahankan kedudukan mereka.

Katanya, Melayu Islam dapat diperkasakan dengan Pas yang berdasarkan Islam mengikut undang-undang tubuhnya yang berbeza dengan UMNO.

"Pas telah membuktikan kemampuannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Walaupun UMNO menghalang pemerintahannya secara khianat terhadap agama dan bangsanya sendiri secara tidak bermoral dan melanggar adab demokrasi dan perlembagaan semata-mata mahu berkuasa dalam penyakit tua yang tidak sembuh.

"UMNO sanggup bermusuh dengan Pas dan kerajaan pimpinan Pas kerana Islamnya, lebih dahsyat daripada bermusuh dengan kaum lain," kata beliau lagi.

Jelas beliau, mutakhir ini adanya kalangan tokoh Melayu Islam dalam Umno meninggalkan parti itu, bersama kalangan tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai Pas.

"Ia adalah petunjuk positif kepada pengundi Melayu Islam secara khusus supaya mereka membuat perubahan bersama Pas menggantikan UMNO sebagai kuasa pemerintahan.

"Perubahan sekadar ini tidak mencukupi tanpa sejumlah besar ahli Umno dan orang-orang Melayu yang bergantung dengannya secara khurafat," katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment