My Add

Sunday 23 September 2012

Pemilihan bakal haji 1MDB tidak ikut fahaman politik

SEPANG, SABTU,22 September, 2012; Pemilihan peserta untuk mengerjakan ibadat haji di bawah program khas tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) tidak dibuat berdasarkan ideologi politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemilihan itu dibuat secara demokrasi yang mana setiap peserta mesti di kalangan imam atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Kita tidak meletakkan parti politik sebagai asas, syarat utama mestilah imam atau Pengerusi JKKK, kalau ikut parti itu akan jadi lain pula.

"Kita penuh demokrasi dan beri ruang kepada kelompok imam dan Pengerusi JKKK yang sentiasa berdepan dengan masyarakat untuk diberi sumbangan sebegini, walaupun terhad tetapi ia sangat bermakna," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Pelepasan Jemaah Haji 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghantar seramai 400 jemaah haji terdiri daripada imam dan Pengerusi JKKK di seluruh negara menaiki pesawat Malaysia Airlines System (MAS) dari KLIA ke Madinah pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Jamil Khir, penerbangan itu akan mengambil masa selama lapan jam sebelum tiba di Lapangan Terbang Madinah pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.

Beliau berkata, kerajaan berhasrat menghantar lebih ramai peserta ke tanah suci Mekah menerusi yayasan tersebut pada tahun hadapan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment