My Add

Sunday 2 September 2012

Pemimpin Pas diingat jangan ghairah beri kenyataan

  Mustafa Ali
KUALA TERENGGANU, AHAD, 02 September, 2012: Pemimpin Pas diingatkan tidak terlalu ghairah memberi kenyataan dalam media sehingga boleh mencetuskan perselisihan pendapat antara satu sama lain.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menekankan batasan bersuara perlu dilihat dari aspek isu kontroversi tanpa menghalang mana-mana pihak memberi kenyataan terhadap isu bukan kontroversi.

Lebih jelas katanya, hanya dua individu yang layak menjawab isu sedemikian sebagaimana diputuskan peringkat kepimpinan sebelum ini bagi menjawab isu kontroversi yang dibangkitkan media.

“Kita telah mengambil keputusan baru-baru ini supaya yang sepatutnya memberi respons dalam isu kontroversi ialah presiden parti dan ketua penerangan. Kita sudah mengambil keputusan seperti itu supaya tidak timbul lagi
percanggahan.

“Jadi, yang (pemimpin) bawah ini kena jagalah sikit jangan ghairah sangat. Surat khabar (media) ini memang dia (wartawan) cari ‘point’ orang bercakap sebenarnya,” katanya ketika berucap di Rumah Terbuka Perantau di Markaz Tarbiyah Pas Kuala Ibai, di sini, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Pas bercanggah pendapat dengan kepimpinan utama parti berhubung pelaksanaan hudud sebagaimana kenyataan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Sinar Harian 23 Ogos lalu yang tidak bersetuju hudud dilaksanakan dengan alasan sekarang bukan masa kondusif.

Pandangan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu turut disokong Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub yang berpandangan ia tidak dapat dilakukan dalam masa terdekat kerana pelbagai halangan dan suasana yang belum sesuai di negara ini.

Minggu lalu, Pas berhadapan dengan kontroversi terbaru susulan pandangan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu kepada akhbar Sin Chew Daily.

Mustafa meminta pemimpin yang tidak berkenaan supaya tidak melayan kerenah media bagi mengelak berlakunya percanggahan pendapat dengan pimpinan utama.

No comments:

Post a Comment