My Add

Sunday 2 September 2012

UMNO mahu Guan Eng tubuh jawatankuasa khas

  Musa Sheikh Fadzir
BUKIT MERTAJAM, AHAD, 02 September, 2012: UMNO Pulau Pinang mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan berhubung penjualan tanah yang dilakukan oleh kerajaan negeri sejak 2008.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, jawatankuasa itu penting kerana ia mampu memperjelaskan sama ada penjualan tanah yang dilakukan oleh kerajaan negeri adalah benar dan telus atau sebaliknya.

"Sudah sampai masanya kerajaan negeri tubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat penjualan tanah dan bentangkan kepada umum bagi rakyat nilai sendiri sama ada apa yang mereka buat itu (jual tanah) adalah telus.

"Ini barulah dikatakan berani dan demokrasi, kita bukan hanya mahu seorang ketua menteri yang pandai bercakap dan menuduh orang sana sini tetapi boleh membuktikan apa yang beliau cakap," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Batu Kawan di sini hari ini.

Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan turut mencabar Lim supaya menjawab dan menjelaskan segala persoalan yang dikemukakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berhubung isu penjualan tanah di Taman Manggis.

"Mereka (pemuda BN) berkali-kali minta ketua menteri jawab dan jelaskan isu berkenaan tetapi sehingga hari ini beliau (Lim) tidak berbuat demikian sebaliknya beliau juga terus membohongi rakyat Pulau Pinang dengan menuduh itu semua agenda UMNO," katanya.

Pemuda BN negeri sebelum ini melahirkan kekesalan dengan tindakan kerajaan negeri menjual tanah berkenaan kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

Mereka terkejut apabila mendapat tahu tapak berkenaan akan dibangunkan sebagai hotel dan hospital swasta sedangkan tanah itu sepatutnya dibangunkan untuk projek fasa kedua rumah kos rendah sebanyak 272 unit selepas 320 unit fasa pertama siap beberapa tahun lalu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment