My Add

Sunday 16 September 2012

Rakyat mahu BN kembali memerintah - TPM

KUALA LUMPUR, SABTU, 15 September, 2012: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gelombang rakyat yang mahu Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negeri di bawah pentadbiran pembangkang menjadi azimat terbaik untuk parti itu merampas semula beberapa negeri termasuk Selangor.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keyakinan serta harapan tinggi rakyat terhadap BN yang ditunjangi UMNO itu sudah tentu bersandarkan kepada transformasi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain kemampuan kerajaan menunaikan segala janji.

Mengambil contoh di Selangor, kata Muhyiddin, kegagalan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyelesaikan pelbagai isu rakyat memberi kekuatan tambahan kepada BN untuk merampas negeri itu dan hasrat tersebut perlu diterjemahkan oleh kepimpinan parti melalui kerja keras.

"Sekarang rakyat sedar dan sudah wujud gelombang yang mahu BN kembali memerintah. Saya tahu kerana saya turun banyak tempat dan rakyat memberitahu mereka sudah tidak tahan lagi dengan tindak-tanduk pembangkang," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Selayang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Templer, Datuk Subahan Kamal.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan seluruh jentera UMNO dan BN agar jangan sesekali merencatkan peluang kemenangan parti dengan mengamalkan budaya sabotaj.

"Kita tidak mahu peristiwa di Kelantan pada 2004 yang menyaksikan BN gagal menawan negeri itu dengan hanya perbezaan satu kerusi berulang, sebab itu ahli parti perlu berusaha 10 kali ganda lebih kuat jika mahu merampas semula semua negeri di bawah pembangkang," katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberi ingatan kepada jentera parti agar jangan menjadikan perkembangan ekosistem politik semasa yang berpihak kepada BN untuk berasa selesa, sebaliknya perlu bekerja secara luar biasa.

"Ini bukan satu perkara kecil, kita nak kembalikan kuasa ini bukan kerana kuasa semata-mata tetapi maruah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment