My Add

Tuesday 18 September 2012

Rayuan pegawai TUDM cabar arahan bersara ditolak

Oleh NORLIZAH ABAS
PUTRAJAYA, SELASA, 18 September, 2012: Seorang pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) gagal dalam usaha terakhirnya untuk mencabar kesahihan keputusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia yang mengarahkannya bersara awal daripada jawatan itu, empat tahun lalu.

Ia berikutan keputusan sebulat suara panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang menolak rayuannya hari ini.

Dengan keputusan itu, kuorum berkenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 29 Jun tahun lalu yang mengisytiharkan keputusan Majlis Angkatan Tentera Malaysia yang mengarahkan Mejar Fadzil Arshad, 50, bersara awal sebagai sah di sisi undang-undang.

Turut bersidang, Datuk Hashim Yusof, Datuk Hasan Lah, Datuk Seri Sulong Matjeraie dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha.

Mahkamah turut tidak memerintahkan Fadzil membayar kos walaupun dia kalah dalam rayuan tersebut.

Majlis Angkatan Tentera yang bersidang pada 24 Jun 2008 mengarahkan Fadzil bersara awal di bawah Peraturan 20(2)(e) Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Lain-Lain Faedah) 1982 dan membatalkan tauliahnya di bawah Seksyen 9 Akta Angkatan Tentera 1972 mulai 17 Julai 2008.

Pegawai TUDM itu diwakili oleh peguam-peguam Leftenan Komander (B) Zalil Mohd. Mess dan Mohd. Syahril Daud manakala Majlis Angkatan Tentera dan Kerajaan Malaysia diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment